
Ketiadaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak disifatkan sebagai punca utama seorang bayi lelaki berusia setahun tercampak keluar dari kenderaan sebelum maut dalam kemalangan ngeri di Plaza Tol Bukit Kajang, kelmarin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata siasatan awal dan laporan polis menunjukkan bayi itu tidak ditempatkan dalam kerusi khas semasa kejadian. Sebaliknya, mangsa tercampak keluar dan tersepit di bawah sebuah kenderaan selepas sebuah lori muatan lusuh merempuh beberapa kenderaan di plaza tol tersebut.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua. Ramai mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi kanak-kanak kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan kepentingan ciri keselamatan itu,” kata Loke pada sidang media selepas perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Kelmarin, seorang bayi lelaki disahkan maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas yang melibatkan empat kenderaan itu. Mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.
Loke menegaskan kerusi keselamatan kanak-kanak adalah ciri tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan tidak boleh dipandang ringan. “Bayangkan jika bayi berada dalam kerusi khas, mungkin dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa setiap ciri keselamatan yang diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri, dan mengabaikannya boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak.
Selain itu, Loke mengatakan penyelenggaraan kenderaan berat tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan PUSPAKOM setiap enam bulan. Menurutnya, lori terbabit mempunyai permit sah dan rekod PUSPAKOM, namun itu tidak mengalih tanggungjawab pengendali.
“Penyelenggaraan mesti dilakukan sepanjang masa. Dalam kes ini, brek lori gagal berfungsi sehingga merempuh plaza tol dan beberapa kenderaan lain,” katanya. Loke menambah syarikat lori itu hanya memiliki dua permit dengan dua lori aktif, dan insiden ini menjadi peringatan kepada semua pengusaha pengangkutan supaya memastikan kenderaan selamat digunakan.
Menurut laporan, pemandu lori terpaksa melompat keluar untuk menyelamatkan diri apabila brek gagal berfungsi. Polis masih menjalankan siasatan penuh, namun bukti awal termasuk rakaman video menunjukkan tanda-tanda kegagalan sistem brek.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.