
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengkritik jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Malaysia bulan depan, mendakwa pemimpin itu terbukti bersekongkol dengan Israel dalam melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Hadi berkata Trump secara terang-terangan memberi sokongan ketenteraan kepada Israel, malah menggunakan kuasa veto Amerika Syarikat untuk menolak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menyabitkan rejim Zionis dengan jenayah.
“Trump bukan sahaja membantu dengan senjata, malah turut menghalalkan penggunaan senjata yang diharamkan undang-undang antarabangsa bagi menghancurkan Gaza,” tulisnya dalam ruangan Minda Presiden PAS.
Menurut Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, puluhan ribu kanak-kanak, wanita, warga emas, pesakit hospital serta petugas bantuan kemanusiaan terbunuh akibat serangan Israel, dengan sokongan berterusan daripada Washington di bawah pentadbiran Trump.
Sambil melabel Trump sebagai “syaitan besar”, Ahli Parlimen Marang itu turut mengecam tindakan beliau yang didakwa memaksa Palestin menerima penyelesaian dua negara melalui tawaran bantuan kewangan. Beliau mendakwa Trump cuba “menggoda” pemimpin Islam dan pemimpin negara Arab supaya tunduk kepada dasar AS.
“Alasan menjemput Trump kerana mahu ‘meramaikan kawan’ adalah rapuh dan tidak boleh diterima akal yang sihat, khususnya ketika dunia, termasuk rakyat Amerika sendiri, mula memulaukan Israel,” katanya.
Hadi menegaskan Malaysia perlu berhati-hati dalam memilih rakan antarabangsa dan mengingatkan umat Islam supaya tidak condong kepada golongan zalim yang boleh membawa padah kepada negara.
Sabtu lalu, Anwar menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober. Trump mengesahkan kehadirannya dalam perbualan telefon dengan Anwar pada Julai lalu.
Menurut Anwar, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi itu untuk terus menyuarakan isu Palestin.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.