
Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia menegaskan parti itu tidak ketandusan pemimpin meskipun sedang berdepan kemelut dalaman yang membabitkan kumpulan tertentu sehingga menjejaskan beberapa bahagian.
Ketua Penerangannya, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata mana-mana bahagian yang terkesan susulan tindakan penyokong bekas Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin, mempunyai barisan pelapis yang bersedia mengambil alih tanggungjawab dan meneruskan perjuangan parti.
“Bagi setiap bahagian yang bermasalah, akan ada pemimpin lain tampil ke hadapan. Parti ini tidak ketandusan pemimpin. Jika tiada ketua bahagian, masih ada timbalan ketua, naib ketua serta ahli jawatankuasa yang boleh menggalas amanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Krisis dalaman terus memuncak
Krisis dalaman Bersatu yang diterajui Presiden, Muhyiddin Yassin, dilihat semakin memuncak apabila parti itu mengumumkan pemecatan Hamzah bersama 16 pimpinan lain.
Situasi tersebut turut disusuli dakwaan bahawa beberapa bahagian parti dibubarkan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, menafikan dakwaan wujud pembubaran bahagian susulan peletakan jawatan ahli jawatankuasa.
Beliau menegaskan Jawatankuasa Bahagian tidak mempunyai kuasa untuk mengumumkan pembubaran kerana kuasa tersebut hanya terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi.
Pemecatan ikut peruntukan parti
Mengulas lanjut, Tun Faisal yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkata ketiadaan individu yang didakwa menjadi punca perpecahan dalaman akan membuka ruang kepada lebih ramai pemimpin sedia ada untuk memperkukuh organisasi parti di peringkat akar umbi.
Menurutnya, keadaan itu memberi peluang kepada tokoh baharu, sama ada dari dalam mahupun luar parti, untuk bersama memperjuangkan agenda Bersatu.
Beliau turut menyifatkan keputusan memecat Hamzah melalui Lembaga Disiplin dibuat berlandaskan peruntukan dalam perlembagaan parti, termasuk Fasal 22 serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Tun Faisal berkata Lembaga Disiplin telah melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan peruntukan tersebut susulan tindakan yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan parti.
Katanya, Hamzah sebagai Timbalan Presiden ketika itu didakwa gagal menghalang pelanggaran perlembagaan dan disiplin oleh pengikutnya secara berulang sehingga menjejaskan imej serta institusi parti.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.