
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Bung Moktar Radin, berkata jumlah kerusi yang akan ditandingi BN pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 akan kurang daripada sasaran asal iaitu 48 kerusi.
Beliau menjelaskan kelewatan memuktamadkan pembahagian kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) berpunca daripada keinginan kedua-dua pihak untuk menandingi beberapa kawasan tertentu, sekali gus menjejaskan rancangan awal BN.
Menurut Bung, rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH kini berada di fasa akhir dengan hampir 70% perkara telah dimuktamadkan. Namun masih terdapat beberapa kerusi yang perlu diperhalusi sebelum persetujuan bersama dapat diumumkan secara rasmi.
“Ada lagi beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara BN dan PH. Insya-Allah saya akan berjumpa dengan pimpinan-pimpinan ini pada 3 atau 4 Nov ini untuk kita selesaikan,” katanya kepada pemberita di Sandakan, menurut laporan Bernama.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan hari penamaan calon PRN Sabah pada 15 Nov, manakala pengundian awal pada 25 Nov dan hari pengundian utama pada 29 Nov. Bung menegaskan proses terakhir pembahagian kerusi dijangka diselesaikan sebelum tarikh-tarikh penting tersebut.
Beliau juga memberi jaminan bahawa sebarang keputusan mengenai pengagihan kerusi dibuat melalui rundingan dan perbincangan bersama demi memastikan kerjasama antara gabungan dapat berjalan lancar menjelang pilihan raya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.