
Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, mengemukakan permohonan baharu untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri Besar dan 16 yang lain.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 15 Oktober lalu. Ia menamakan Menteri Besar, Ismail Lasim, 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), serta enam plaintif dalam pertikaian undang-undang membabitkan DKU.
Enam plaintif berkenaan ialah tiga Undang yang dipertikaikan, iaitu Mubarak Thahak, Maarof Mat Rashad dan Abd Rahim Yasin, serta Undang Johol yang sedang berkhidmat, Muhammed Abdullah.
Dua lagi ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, dan Badarudin Abdul Khalid.
Dakwaan langgar injunksi 5 Jun
Pemohon mendakwa 17 individu itu menghina mahkamah, melanggar atau bertindak menjejaskan perintah injunksi Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 5 Jun lalu, berhubung pentadbiran dan hal ehwal DKU.
Injunksi berkenaan menghalang enam plaintif terbabit daripada membuat atau melaksanakan keputusan berhubung DKU. Mereka juga tidak boleh mengambil langkah yang boleh mengubah status quo badan itu seperti sebelum 21 Mei.
Bagaimanapun, pemohon mendakwa keenam-enam plaintif itu terus mengambil langkah untuk melaksanakan pengisytiharan bertarikh 19 April lalu berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, walaupun injunksi masih berkuat kuasa.
Pemohon membangkitkan siri kenyataan media dan sidang akhbar antara 5 September hingga 11 Oktober lalu. Dalam kenyataan itu, enam plaintif didakwa mempertahankan bahawa pengisytiharan tersebut sah dan berkesan.
Tindakan Menteri Besar dan bekas EXCO
Pemohon seterusnya mendakwa Ismail dan 10 bekas EXCO itu secara sedar mengambil langkah untuk melaksanakan pengisytiharan terbabit, sekali gus menggagalkan tujuan perintah mahkamah.
Antara tindakan yang dinyatakan ialah Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 15 September lalu. Dalam mesyuarat itu, keputusan kolektif didakwa dibuat bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diturunkan dari takhta, manakala Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Pemohon mendakwa keputusan itu merupakan campur tangan dalam pentadbiran dan hal ehwal DKU, yang melanggar injunksi 5 Jun.
Mereka turut memetik surat bertarikh 17 September lalu daripada Ismail kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Surat itu didakwa mengulangi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta memohon supaya perkara tersebut dibawa ke pengetahuan Raja-Raja Melayu.
Permohonan itu juga merujuk keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 September untuk menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim, dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut pemohon, tindakan itu diambil walaupun Ismail dan bekas EXCO sudah dimaklumkan mengenai injunksi berkenaan menerusi surat yang dikeluarkan peguam mereka pada 16 September lalu.
Status penangguhan di Mahkamah Rayuan
Pemohon menghujahkan bahawa individu yang bukan pihak dalam prosiding asal masih boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan menghina mahkamah. Ini sekiranya mereka secara sedar membantu melanggar injunksi atau bertindak menggagalkan tujuannya.
Mahkamah Rayuan sudah membenarkan penangguhan sementara pada 29 Julai terhadap prosiding komital substantif terdahulu yang membabitkan enam plaintif berkenaan.
Bagaimanapun, pemohon mengekalkan pendirian bahawa penangguhan itu tidak menjejaskan injunksi pada 5 Jun, yang kekal berkuat kuasa.
Mahkamah Rayuan akan menetapkan 4 November ini untuk menyampaikan keputusannya mengenai permohonan penangguhan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.