
Rundingan mengenai kerjasama dan pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kini berada di peringkat hampir dimuktamadkan.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata perincian pembahagian kerusi bagi ketiga-tiga gabungan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri itu dijangka ditetapkan sama ada sebelum atau sewaktu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Peringkat BN–PH hampir selesai dan saya diberitahu rundingan dengan GRS juga akan selesai. Bila ia dimuktamadkan nanti, tunggulah (pembubaran) DUN Sabah,” katanya.
Beliau membuat kenyataan itu selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS ‘EHSAN Dairy Farm’ di Ladang Sungai Tengi, di sini pada Ahad.
Laporan media pada Jun lalu menyebut rundingan kerjasama antara BN dan PH untuk menghadapi PRN Sabah telah memasuki fasa akhir.
Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki pula menegaskan rundingan itu melibatkan semua komponen dalam gabungan serta rakan strategik di Sabah.