
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata ketibaan bulan Ogos menyemarakkan semangat rakyat untuk mengibar Jalur Gemilang, namun patriotisme tidak boleh diukur hanya dengan satu bentuk sahaja.
“Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan kecintaan kepada negara, dan tiada pihak berhak memonopoli makna patriotisme. Pepatah Inggeris menyebut, ‘the substance is more important than the form’,” katanya.
Loke menarik perhatian terhadap beberapa insiden terpencil bendera dikibar secara tidak betul yang tular di media sosial, yang boleh mengalih tumpuan sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau menegaskan Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara yang wajib dikibar dengan betul dan penuh penghormatan mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963. Penyalahgunaan atau kesilapan melibatkan bendera dan lambang negara adalah kesalahan di bawah undang-undang, dengan polis bertanggungjawab menguatkuasakannya berpandukan prinsip Kedaulatan Undang-undang.
Loke mengkritik tindakan sesetengah pihak yang cuba “menangguk di air keruh” dengan mengugut untuk membuat protes di premis perniagaan atau “mengajar” orang mengibar bendera, menyifatkannya sebagai perbuatan membuli yang tidak boleh diterima rakyat Malaysia.
“Sempena Hari Kebangsaan ini, marilah kita memperkukuh perpaduan, menghormati kepelbagaian dan berusaha demi kemajuan Malaysia yang kita cintai,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.