
Barisan Nasional (BN) Sabah mengesahkan tidak akan bertanding di kesemua 73 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN17), sebaliknya menumpukan usaha pada kerusi-kerusi yang dianggap berpotensi tinggi untuk dimenangi.
Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata strategi berkenaan termasuk kerjasama dengan pihak yang digelar sebagai “third force” di negeri ini bagi memastikan kemenangan di kerusi terpilih.
“Yang penting, kerusi-kerusi ini berpotensi tinggi untuk dimenangi, dan kita akan bekerjasama dengan the ‘third force’ di Sabah untuk memastikan kerusi-kerusi itu memihak kepada calon-calon BN,” katanya.
Beliau tidak menyatakan secara terperinci pihak atau parti yang dimaksudkan dengan “third force”.
Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, membuat kenyataan itu selepas upacara pelepasan Skuad Sukarelawan BN di perkarangan Bangunan UMNO Sabah di sini hari ini.
BN berkata pihaknya yakin mampu melepasi pencapaian 14 kerusi pada pilihan raya lalu dan sedang mengenal pasti kerusi baharu yang berpotensi menambah jumlah itu.
Sejajar dengan itu, rundingan awal dengan Pakatan Harapan (PH) juga dilaporkan mencapai persetujuan untuk mengelakkan pertembungan kerusi. Bagaimanapun, perincian lanjut mengenai pembahagian kerusi dijangka dimuktamadkan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat secara rasmi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.