Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mahu negara itu memperluas keupayaan melancarkan senjata nuklear menerusi pelbagai platform, sambil menegaskan bahawa keupayaan nuklear negaranya kini sudah menjadi satu “realiti”, lapor media kerajaan pada Khamis.
Kim menyatakan perkara itu ketika melakukan lawatan pemeriksaan ke sebuah kemudahan penyelidikan senjata nuklear di lokasi yang tidak didedahkan pada Rabu, sekali gus mengulangi pendirian Pyongyang bahawa negara itu tidak akan melucutkan senjata nuklearnya.
Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), Kim berkata sektor pembuatan senjata nuklear perlu memberi perhatian kepada penggunaan senjata nuklear taktikal bagi pelbagai misi dalam pelbagai domain.
Beliau menyifatkan usaha itu sebagai keutamaan penting dan mendesak berdasarkan nilai ketenteraan senjata nuklear taktikal dalam peperangan moden serta realiti yang tidak dapat dielakkan akibat kedudukan Korea Utara yang bersempadan dengan negara musuh paling berbahaya.
Gambar yang diterbitkan KCNA menunjukkan Kim bersama dua pegawai ketika meneliti deretan objek yang dipercayai kepala peledak nuklear. Sebahagian objek itu dikaburkan, manakala beberapa daripadanya mempunyai muncung berwarna merah.
Gambar lain menunjukkan Kim memeriksa beberapa peranti berbentuk silinder daripada logam yang dipasang pada pelantar beroda, dengan sebahagian imej dikaburkan.
Mengulangi komitmen negaranya terhadap senjata nuklear, Kim menyifatkan dasar nuklear Korea Utara sebagai “teras jaminan kedaulatan Republik yang termaktub dalam undang-undang tertinggi negara”.
“Tiada sesiapa berhak memaksa kami bertindak bertentangan dengan Perlembagaan atau cuba memindanya,” katanya sambil menegaskan bahawa keupayaan nuklear negaranya kini sudah menjadi kenyataan.
Kim turut menuduh Washington cuba meniru pakatan keselamatan AUKUS di Asia Timur Laut dengan menggalakkan sekutu serantaunya memperoleh kapal selam berkuasa nuklear, dalam kenyataan yang dilihat menyasarkan usaha Korea Selatan mendapatkan aset berkenaan.
Korea Utara memasukkan dasar senjata nuklearnya ke dalam Perlembagaan pada 2023, setahun selepas meluluskan undang-undang yang mengisytiharkan statusnya sebagai negara bersenjata nuklear tidak boleh diubah.
Profesor Institut Kajian Timur Jauh Universiti Kyungnam, Lim Eul-chul, berkata kepada AFP bahawa kenyataan Kim mencerminkan perubahan asas dalam pendekatan Pyongyang terhadap rundingan nuklear dengan Washington.
Menurutnya, pendirian itu secara tidak langsung menandakan Korea Utara tidak lagi mahu menggunakan persenjataan nuklearnya sebagai bahan tawar-menawar untuk mendapatkan pengiktirafan diplomatik atau pelonggaran sekatan daripada AS.
Beliau berkata sekiranya rundingan antara Pyongyang dan Washington disambung semula, agenda pelucutan senjata nuklear secara lengkap, boleh disahkan dan tidak boleh dipulihkan tidak lagi akan dibincangkan. Sebaliknya, rundingan dijangka tertumpu kepada pengurusan ancaman nuklear bersama dan kawalan senjata.
Presiden AS Donald Trump, yang pernah mengadakan tiga pertemuan dengan Kim ketika penggal pertama pemerintahannya bagi membendung program nuklear Korea Utara, berkata pada Ogos bahawa Pyongyang memiliki 57 senjata nuklear yang “sangat berkuasa”.
Korea Selatan menganggarkan Korea Utara memiliki antara 80 hingga 120 senjata nuklear.
Trump berulang kali menyatakan kesediaannya untuk bertemu Kim buat kali keempat, namun rundingan nuklear antara Washington dengan Pyongyang masih terhenti sejak sidang kemuncak kedua-dua pemimpin di Hanoi pada 2019 berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.