Amerika Syarikat (AS) mencadangkan pengenaan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia selepas mendapati dasar perindustrian dan amalan pembuatan negara ini menyumbang kepada lebihan kapasiti serta pengeluaran berstruktur yang didakwa Washington membebankan atau menyekat perdagangan AS.
Malaysia merupakan antara 14 ekonomi yang berdepan cadangan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan kadar utama yang dicadangkan antara 15 hingga 35 peratus. Ekonomi lain yang turut terlibat termasuk China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).
Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer berkata siasatan mendapati strategi perindustrian tertentu yang diamalkan rakan dagang negara itu telah mewujudkan persaingan tidak adil kepada pengeluar Amerika.
Dalam kenyataan pada Rabu, beliau berkata strategi berkenaan merangkumi penumpuan kepada sektor pembuatan, pengekangan upah dan tenaga kerja, sokongan kewangan serta pelbagai bentuk bantuan lain, penggunaan input daripada ekonomi bukan pasaran dan amalan yang memesongkan pasaran.
Menurutnya, amalan itu telah menyebabkan imbangan perdagangan memihak kepada negara terbabit, selain menghakis asas sektor pembuatan AS.
Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) mengenal pasti empat bidang utama yang menjadi kebimbangan terhadap Malaysia, iaitu rancangan perindustrian dan sektoral untuk mengembangkan sektor pembuatan serta eksport; pembiayaan keutamaan melalui program pembiayaan nasional; tindakan yang tidak mencukupi untuk menangani lebihan kapasiti berkaitan import dan pelaburan asing dari ekonomi bukan pasaran; serta perlindungan buruh yang tidak memadai.
Laporan itu turut menumpukan perhatian kepada industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta automotif, dengan menyatakan dasar berkenaan berpotensi mengehadkan peluang komersial pengeluar dan pengeksport AS di Malaysia serta pasaran lain.
Di bawah cadangan tersebut, barangan Malaysia boleh dikenakan tarif tambahan sehingga 18 peratus, selain duti sedia ada jika berkenaan, tertakluk kepada pengecualian bagi produk tertentu.
USTR menjelaskan bahawa kadar sehingga 18 peratus yang dicadangkan bagi Malaysia mengambil kira penghapusan tarif sedia ada di bawah Seksyen 301, dengan pengecualian untuk barangan terpilih.
Cadangan itu turut mengambil kira duti sedia ada di bawah Seksyen 301 dan 232, rundingan yang sedang berlangsung dengan Malaysia serta komitmen di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia.
Bagaimanapun, USTR turut mencadangkan supaya kadar tarif sehingga 25 peratus dipertimbangkan, selepas ditolak tarif sedia ada di bawah Seksyen 301, sekiranya rundingan dan komitmen di bawah perjanjian perdagangan timbal balik itu tidak memenuhi jangkaan Washington.
Greer berkata langkah yang dicadangkan bertujuan menangani amalan perdagangan yang dianggap tidak adil oleh AS, selain meningkatkan daya saing pengeluar Amerika.
Beliau turut menyatakan bahawa pemimpin dunia, termasuk Donald Trump, Joe Biden, Xi Jinping dan Emmanuel Macron, telah mengakui sejak 2016 bahawa lebihan kapasiti dan pengeluaran berstruktur boleh mengancam ekonomi global.
Sementara itu, USTR mengakui pendirian Malaysia bahawa negara ini mengamalkan sistem perdagangan berasaskan peraturan dan tidak menyumbang kepada lebihan kapasiti berstruktur.
Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ekosistem pembuatan negara memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global dan AS. Malaysia turut menyatakan bahawa model ekonominya berasaskan pasaran serta responsif terhadap permintaan global, manakala eksport negara melengkapi dan bukannya bersaing dengan pengeluaran domestik AS.
Menurut notis berkenaan, siasatan terhadap Malaysia dimulakan pada 11 Mac 2026. USTR mengadakan rundingan dua hala dengan kerajaan Malaysia pada 12 Mei, namun perbincangan itu gagal menyelesaikan kebimbangan Washington.
Pihak berkepentingan diberi sehingga 5 Jan 2027 untuk mengemukakan ulasan bertulis serta permohonan menyertai sesi pendengaran awam yang dijadualkan bermula pada 25 Jan 2027 di Washington.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.