Gabungan pemerintah di Sarawak dan Sabah mempengaruhi strategi parti di Semenanjung menjelang PRU16 kerana kedua-duanya dilihat sebagai ‘king maker’, kata penganalisis.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara dan James Chin daripada University of Tasmania berkata, keputusan PAS dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak 12 Dis ini mencerminkan keinginan kedua-dua parti mengekalkan hubungan baik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sokongan GPS itu, kata mereka, mungkin menjadi faktor penting dalam menentukan pihak yang membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.
GPS dan GRS guna kekuatan di Parlimen
Azmi berkata, GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus menggunakan kekuatan mereka di Parlimen untuk merundingkan syarat yang lebih baik dengan kerajaan persekutuan, selagi parti dari Semenanjung bergantung kepada sokongan mereka untuk memperoleh majoriti.
Katanya, kedua-dua gabungan itu boleh menggunakan kedudukan mereka untuk menuntut perubahan dalam peruntukan belanjawan bagi negeri masing-masing.
Beliau berkata, GPS menggunakan pengaruh politiknya demi kepentingan Sarawak, manakala GRS turut mengambil iktibar daripada cara gabungan itu merundingkan kedudukannya di peringkat persekutuan.
Azmi merujuk tuntutan supaya Sarawak dan Sabah diperuntukkan satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen sebagai satu lagi contoh bagaimana parti di Malaysia Timur berusaha memperkukuh pengaruh politik mereka.
PAS dan perkiraan politik menjelang PRU16
Azmi turut berkata, keputusan PAS tidak bertanding pada PRN Sarawak sebahagian besarnya didorong oleh perkiraan politik parti itu menjelang PRU16. Beliau berkata PAS menyedari ia mungkin memerlukan sokongan GPS jika mahu membentuk kerajaan persekutuan bersama BN.
“Saya fikir itulah sebab utama PAS memilih untuk tidak bertanding. Bagi PAS, ini langkah pragmatik. Parti itu berpeluang membentuk kerajaan persekutuan, tetapi dengan bantuan GPS,” katanya.
Sementara itu, Chin berkata, PAS dan Umno melihat lebih jauh daripada PRN Sarawak ketika berusaha mendapatkan kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.
Katanya, kedua-dua parti Melayu terbesar itu menyasarkan antara 100 hingga 105 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
GPS dan GRS cenderung sertai kerajaan
Bagaimanapun, kedua-duanya masih memerlukan sokongan GPS dan GRS untuk membentuk kerajaan persekutuan. Menurut Chin, itu menjelaskan mengapa kedua-dua parti mengelak daripada mencetuskan perselisihan tidak perlu dengan gabungan dari Malaysia Timur itu.
“PAS dan Umno merasakan mereka akan memenangi PRU16 dan tidak mahu menjejaskan hubungan dengan GPS atau GRS. Lebih mudah untuk berunding dengan mereka selepas malam pilihan raya jika kita tidak menjadikan mereka musuh,” katanya.
Chin berkata, keberkesanan strategi itu bergantung pada keupayaan PAS dan Umno mengekalkan kerjasama sehingga PRU16.
Katanya, GPS dan GRS akhirnya akan menilai pihak mana yang mampu menawarkan lebih banyak konsesi kepada mereka sebelum memutuskan gabungan mana yang akan disokong selepas PRU16.
“Namun, jika jumlah kerusi yang diperoleh jelas menunjukkan Umno dan PAS melepasi 100 kerusi, GPS dan GRS tidak mempunyai pilihan selain menyertai kerajaan itu,” katanya.
Chin turut berkata, kedua-dua gabungan itu lebih cenderung untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan persekutuan.
“GPS dan GRS tidak merasakan bahawa menyertai blok pembangkang merupakan pilihan yang wajar,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.