
Sekumpulan Ahli Parlimen yang berpihak kepada Hamzah Zainudin menggesa Bersatu keluar atau disingkirkan daripada Perikatan Nasional (PN), sambil memberi amaran bahawa kehadiran berterusan parti itu berisiko melumpuhkan gabungan berkenaan.
Dalam kenyataan bersama, 13 Ahli Parlimen terbabit turut menggesa agar semua pelantikan politik dan jawatan exco negeri yang dipegang Bersatu di negeri-negeri berkenaan dirombak semula, susulan keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan parti itu.
Dakwaan pelanggaran semangat kerjasama
Mereka turut mendakwa tindakan PAS itu tidak mengejutkan, berikutan Bersatu yang didakwa berulang kali melanggar semangat kerjasama dalam PN.
“Keengganan menghormati semangat setiakawan antara parti komponen akhirnya memakan diri dan menghancurkan keutuhan koalisi yang dibina dengan susah payah,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Zakri Hassan (Kangar), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Muhammad Islahuddin Abas (Mersing), Kalam Salan (Sabak Bernam), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu) dan Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu).
Masa depan PN semakin tidak menentu
Kenyataan itu muncul ketika masa depan PN semakin menjadi tanda tanya, selepas PAS mengumumkan tidak lagi meneruskan kerjasama politik dengan Bersatu.
Ketua Penerangan PN Annuar Musa berkata parti-parti komponen akan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan hala tuju gabungan itu, susulan keputusan PAS berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.