
Cadangan supaya parti dan gabungan politik bertanding solo pada PRN Melaka bagi mengukur kekuatan masing-masing menjelang PRU16 disifatkan tidak realistik, kata penganalisis.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata keputusan di Melaka, yang hanya mempunyai 28 DUN, tidak semestinya mencerminkan sokongan terhadap parti di peringkat nasional.
Beliau turut mempersoalkan sama ada keputusan PRN pada 14 Nov depan boleh ditafsirkan sebagai petanda sokongan secara keseluruhan sekiranya peratusan keluar mengundi rendah.
“Jadi hendak menggunakan Melaka sebagai kayu ukur itu tidak realistik,” katanya kepada FMT, mengulas cadangan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Puad Zarkashi.
Kerjasama politik masih menemui jalan buntu
Puad, yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, berkata parti-parti utama dilihat menghadapi kesukaran untuk bertolak ansur dan mencapai persetujuan mengenai kerjasama politik bagi PRN Melaka.
BN sebelum ini menyatakan hasrat bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Melaka susulan kemenangan besar gabungan itu pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.
Bagaimanapun, gabungan pimpinan Umno itu turut membuka ruang rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) dan mengambil masa untuk mengesahkan kerjasama dengan PN pimpinan PAS.
Presiden PAS, Hadi Awang, pula mendakwa PAS dan BN pada dasarnya sudah bersetuju untuk bergabung tenaga di Melaka.
Sementara itu, PH dikaitkan dengan spekulasi mengenai kemungkinan pakatan dengan Bersatu, yang semakin tersisih dalam PN walaupun masih menjadi komponen gabungan pembangkang itu.
Landskap politik pasca-PRU15
Mengulas lanjut, Azmi berkata landskap politik selepas PRU15 menjadikan kerjasama antara parti semakin penting kerana tiada satu parti pun mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan secara bersendirian.
“Tidak ada parti politik yang mahu mengambil risiko bertanding solo jikalau peluang untuk bekerjasama itu ada harapan untuk mencapai persetujuan,” katanya.
Risiko perpecahan undi
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata cadangan bertanding solo mungkin kelihatan munasabah secara teori, tetapi sukar dilaksanakan dalam realiti politik negara.
Menurutnya, bertanding solo bukan penyelesaian mudah kepada kebuntuan rundingan pembahagian kerusi.
Lau turut membangkitkan persoalan sama ada pertandingan solo benar-benar mencerminkan kehendak pengundi dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, iaitu calon yang memperoleh undi terbanyak memenangi kerusi.
Beliau memberi contoh pengundi yang mungkin menyokong Umno dan PAS, tetapi terpaksa memilih salah satu jika kedua-duanya bertanding secara berasingan.
Perpecahan undi itu, katanya, boleh membuka laluan kepada calon daripada gabungan lain untuk memenangi kerusi berkenaan.
“Adakah itu mencerminkan keinginan rakyat? Tak tentu juga,” katanya, yang berpandangan BN mempunyai kelebihan berdasarkan pola pengundian dalam pilihan raya sebelum ini.
“Tetapi pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan PH boleh menghasilkan keputusan yang lebih sukar dijangka,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.