
Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menegaskan parti itu tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak, termasuk rakan dalam kerajaan, sekiranya prinsip perjuangan parti dicabar.
Beliau berkata kebelakangan ini terdapat suara yang meminta pemimpin Umno dipecat daripada kerajaan, termasuk gesaan Pemuda DAP terhadap Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan susulan krisis pentadbiran di Negeri Sembilan.
Menurutnya, Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, N Sathia Prakash turut mencadangkan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar, Rizam Ismail dipecat daripada jawatan exco.
Umno tidak gentar tekanan politik
Akmal berkata kenyataan sedemikian seolah-olah mahu menunjukkan bahawa Umno boleh diugut melalui tekanan politik.
“Kalau benar berani, jangan pilih seorang dua, pecatlah semua menteri, timbalan dan exco dari Umno. Baru rakyat nampak siapa sebenarnya yang takut kepada prinsip Umno.
“Umno boleh hilang jawatan dan ditekan kawan serta lawan, tetapi Umno tidak akan sesekali biarkan prinsipnya tergadai,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Akmal puji pendirian Zahid
Dalam masa sama, Akmal memuji Presiden Umno, Zahid Hamidi yang disifatkannya berani menyelar penganjuran Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang.
Katanya, tindakan itu membuktikan Umno tetap bersuara apabila prinsip perjuangan parti disentuh.
“Walaupun dengan siapa kita berkawan, tapi apabila prinsip dilanggar, maruah dicabar, garis merah disentuh, Umno akan tegak melawan,” katanya.
Umno mahu program diteliti semula
Semalam, Zahid menegaskan Umno mahu penganjuran program seperti festival air tersebut diteliti supaya selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara.
Menurutnya, Umno meminta program seumpama itu dikaji semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya kerana sebarang penganjuran tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.