
Umno Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada terus berada dalam kerajaan negeri dan hanya melihat kesilapan yang dilakukan Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias berkata, parti itu kini memberi tumpuan untuk memperkukuh akar umbi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.
Umno hilang keyakinan terhadap Menteri Besar
“Umno Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada duduk di dalam kerajaan dan melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh Menteri Besar.
“Krisis hari ini hanya timbul setelah Umno hilang keyakinan terhadap Menteri Besar apabila krisis adat dan perlembagaan ini gagal diurus dengan tertib,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Umno ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Jalaluddin berkata, Umno Negeri Sembilan berharap kepimpinan pusat benar-benar mendengar pandangan akar umbi berhubung kerjasama parti dengan mana-mana pihak menjelang PRU16.
Menurutnya, matlamat utama Umno Negeri Sembilan selepas ini adalah untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi dan kembali menjadi parti dominan.
Solidariti jadi kekuatan Umno Negeri Sembilan
Beliau berkata kekuatan Umno Negeri Sembilan berpunca daripada solidariti kukuh dalam kalangan pimpinan parti, termasuk kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri sedia ada.
“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan ADUN yang tetap setia dan bersama-sama saya dalam memacu Umno Negeri Sembilan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Jalaluddin mengingatkan Umno Malaysia supaya tidak menggadaikan masa depan parti hanya kerana mahu menjaga hati pihak tertentu.
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap krisis yang berlaku, namun sebagai seorang ketua, saya bertanggungjawab membawa anak-anak buah saya di landasan perjuangan yang sebenar.
“Selagi mana Presiden Umno memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui Umno Negeri Sembilan, saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.
Jalaluddin nafi wujud usaha tebuk atap
Jalaluddin menegaskan tindakan Umno Negeri Sembilan bukan didorong oleh keinginan mendapatkan jawatan atau mahu merosakkan momentum parti.
Katanya, tindakan itu dibuat kerana terdapat prinsip dan maruah parti yang tidak boleh digadaikan.
“Umno Negeri Sembilan bertindak kerana ada prinsip yang tidak boleh kita gadaikan. Umno Negeri Sembilan bertindak kerana ada maruah yang tidak boleh kita jual beli,” tegasnya.
Beliau turut membidas pihak tertentu yang menuduh tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar sebagai usaha tebuk atap.
“Jika Umno mahu tebuk atap, Umno telah lakukan lama dahulu. Rakan-rakan ADUN di Negeri Sembilan boleh sahkan, tidak ada sebarang perbincangan awal untuk tebuk atap.
“Kalau Umno mahu berkuasa, peluang itu sudah terhidang selepas PRN, tapi Umno memilih bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.