
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap seorang ahli yang didakwa menyiarkan imej Jalur Gemilang yang salah.
Sebelum ini lantang mengkritik sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan bendera secara terbalik, Akmal mengakui kesilapan kali ini datang daripada individu yang menghasilkan poster untuk Pemuda UMNO Terengganu.
“Saya tidak akan minta maaf walaupun ini dibuat oleh Pemuda UMNO Terengganu. Saya hanya minta mereka mohon maaf dan pihak polis siasat serta kenakan tindakan keras. Tak kira siapa kamu, bangsa atau fahaman politik, salah tetap salah,” katanya dalam video di Facebook.
Isu ini tercetus apabila Pemuda UMNO Terengganu memuat naik grafik sebagai tanda marah terhadap kes bendera terbalik di Pulau Pinang dan menuntut pembelaan bagi kematian pelajar Sabah, Zara Qairina Mahathir. Namun, Jalur Gemilang dalam grafik tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti sepatutnya.
Kesilapan itu disedari pengguna media sosial dan grafik asal dipadam pada jam 12.55 tengah hari, digantikan dengan versi baharu yang memaparkan jalur bendera yang betul.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.