
Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mengumumkan penarikan dirinya daripada bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) mewakili MCA, John Siow, yang disebut-sebut bakal bertanding di kawasan berkenaan.
Kerusi DUN Chennah kini disandang oleh Pengerusi DAP, Anthony Loke, namun pada PRN Negeri Sembilan kali ini masih belum diketahui sama ada beliau akan bertanding semula atau tidak.
Albert berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Wee Ka Siong, yang disusuli perbincangan mengenai hala tuju menghadapi pilihan raya.
Menurutnya, beliau yakin John Siow merupakan calon yang berjiwa rakyat serta mempunyai kredibiliti untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat di DUN Chennah.
Janji bantu BN tumbangkan Anthony Loke
“Saya telah memaklumkan kepada John Siow bahawa saya akan berdiri di sebelahnya ketika hari penamaan calon pada 18 Julai ini. Saya juga berjanji akan melakukan segala yang termampu untuk membantu BN menggulingkan Anthony Loke di DUN Chennah dan menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Albert Tei turut berjanji kepada Ka Siong untuk membantu berkempen bagi semua calon BN sepanjang tempoh kempen bermula 18 hingga 31 Julai depan.
Beliau berkata, kempen itu akan digunakan bagi menyampaikan pandangannya berhubung prestasi kepimpinan PH, khususnya DAP, kepada masyarakat di Negeri Sembilan.
Sebelum ini sasar bertanding sendiri
Sebelum ini, media melaporkan Albert tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRN Negeri Sembilan kerana rakan-rakan dan pengikutnya di media sosial mengharapkan demikian.
Beliau turut menyasarkan untuk bertanding di kerusi DUN Chennah yang kini disandang oleh Anthony.
Selain itu, beliau turut memaklumkan berminat menyertai salah sebuah parti daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dan telah pun berbincang dengan pucuk pimpinan parti berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.