
Zhang Zhidong, warga China yang didakwa menjadi “raja fentanyl” di Meksiko, kini menunggu proses perbicaraan selepas dituduh terlibat dalam perdagangan narkotik dan pengubahan wang haram.
Siasatan mendedahkan bagaimana hubungannya di China, rangkaian bekalan bahan kimia, serta jaringan di Meksiko dikatakan saling berkait di sebalik sosok yang digelar pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai tokoh utama dalam rangkaian tersebut.
Menurut catatan penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat, nama “Brother Wang” turut dikaitkan dengan Zhang Zhidong. Seorang individu yang dikenali sebagai Enrique, nama samaran bagi melindungi identitinya, menggambarkan peranan “Brother Wang” sebagai sangat penting dan menjadi individu nombor satu dalam rangkaian berkenaan.
Enrique mendakwa dirinya adalah penyelaras peringkat tinggi dalam Kartel Sinaloa. Beliau bercakap dari pinggir bandar Culiacan, ibu negeri Sinaloa, sambil memastikan tiada sesiapa lain mendengar, untuk menjelaskan dakwaan aliran penghantaran bahan pembuatan fentanyl dari kilang di China ke makmal di Meksiko.
Menurut dakwaan itu, bahan pembentuk fentanyl dihantar sejauh ribuan batu dari China ke Meksiko. Selepas bahan tersebut tiba, rangkaian kartel didakwa menyalurkannya kepada individu yang dikenali sebagai “fentanyl cooks” untuk diproses di makmal sulit.
Fentanyl adalah opioid sintetik yang dilaporkan 50 kali lebih kuat berbanding heroin. Bahan ini dilaporkan meragut puluhan ribu nyawa setiap tahun, terutamanya di Amerika Syarikat, dengan dos sekecil beberapa butir garam berpotensi membawa maut.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggelar pengedar fentanyl sebagai “narco-terrorists” dan mengklasifikasikan dadah tersebut berserta komponennya sebagai senjata pemusnah besar-besaran, selain menjadikan isu perdagangan fentanyl sebagai asas pengenaan tarif terhadap China, Meksiko, dan Kanada.
Ketika Zhang tampil di mahkamah New York pada 2025, bekas Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche, menyifatkannya sebagai antara pengedar paling berbahaya di dunia.
Blanche mendakwa Zhang menjalankan operasi global yang mengalirkan jumlah besar kokain, fentanyl, dan methamphetamine, selain mengubah wang haram bernilai berjuta dolar hasil jualan narkotik.
Zhang mengaku tidak bersalah dan kini menunggu perbicaraan. BBC melaporkan peguamnya enggan memberikan sebarang komen selagi kes masih berjalan.
Latar belakang dan perjalanan ke Meksiko
Zhang merupakan bekas pelajar Peking University di Beijing dan dilaporkan memperoleh ijazah bahasa Sepanyol pada 2010, sebelum berhijrah ke Meksiko setahun kemudian untuk bekerja dengan sebuah syarikat perlombongan bijih besi milik warga China.
Individu yang pernah mengenalinya ketika itu, dikenali dengan nama samaran Alex, menggambarkan Zhang sebagai seorang profesional muda yang pantas menyesuaikan diri, mampu berunding dengan pelbagai golongan dan sangat berdaya cipta dalam menangani persekitaran baharu.
Menurut Alex, Zhang fasih berbahasa Sepanyol termasuk memahami bahasa jalanan, mampu berkomunikasi dengan sesiapa sahaja, namun tetap mengekalkan loghat Beijing yang jelas.
Alex turut menceritakan bahawa semasa awal penempatan Zhang di Meksiko, urusan perniagaan di sana sering bersinggungan dengan dunia gelap, termasuk kartel yang menguasai kawasan-kawasan besar di negara tersebut.
Zhang dilaporkan membina hubungan dengan pihak berpengaruh di peringkat tempatan, sama ada dari sisi rasmi mahupun tidak rasmi.
Mereka yang mengenali Zhang turut menyifatkannya sebagai seorang yang gemar mengambil risiko. Alex mengimbau satu insiden apabila Zhang melanggar kenderaan atasannya tanpa banyak memikirkan akibatnya, malah pernah mengajaknya keluar bandar semata-mata untuk menembak papan tanda jalan di lebuh raya yang lengang.
Syarikat perlombongan itu runtuh pada 2013 dan Alex pulang ke China, namun Zhang memilih untuk terus tinggal di Meksiko.
Setahun atau dua tahun selepas itu, Zhang dilaporkan mula menawarkan perkhidmatan penukaran dolar dengan kadar lebih menguntungkan menerusi kumpulan alumni bahasa Sepanyol Peking University di WeChat, satu langkah yang menurut Alex berkait dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Rangkaian dari China ke Sinaloa
Dokumen mahkamah Amerika Syarikat mendakwa Zhang mengendalikan sebuah organisasi besar pemerdagangan dadah dan pengubahan wang haram sejak Jun 2016.
Enrique turut mendakwa Zhang menjalin hubungan rapat dengan kerabat perempuan salah seorang pemimpin kartel, yang dipercayai membantunya menembusi lingkaran dalam kumpulan tersebut.
Seorang lagi sumber, dikenali dengan nama samaran Luis, menceritakan bagaimana Zhang mula-mula tampil sebagai individu yang menawarkan “produk” kepada ahli kartel pada satu pertemuan tahun 2019. Produk yang dimaksudkan ialah precursors, iaitu bahan kimia asas yang diperlukan untuk menghasilkan fentanyl.
Menurut Luis, Zhang kemudiannya menjadi individu yang mengenalkannya kepada fentanyl sehingga beliau turut menjadi seorang “fentanyl cook” yang memproses bahan tersebut di makmal gelap.
Luis mendakwa pernah menyaksikan sekurang-kurangnya lima rakan sekerjanya maut, didakwa akibat pendedahan bahan kimia yang merembes menerusi kelemahan peralatan perlindungan mereka.
Enrique menggambarkan “Brother Wang” sebagai penggerak utama yang memastikan rantaian bekalan itu berfungsi, dengan bahan kimia dihantar sejauh beribu batu dari China ke makmal di Meksiko.
Menurut Luis, tempahan precursors dibuat kepada Zhang, yang kemudiannya menggunakan hubungannya di China untuk mendapatkan bahan tersebut sebelum dihantar ke Meksiko menerusi jalan udara atau laut.
Lembaga keamanan Meksiko turut mendakwa Zhang mengendalikan operasi haram yang meliputi Amerika Syarikat, Eropah, China, dan Jepun, serta bertanggungjawab mengeksport dan mengedar lebih 1,000 kilogram kokain, 1,800 kilogram fentanyl, dan 600 kilogram methamphetamine.
Dakwaan turut merangkumi pengendalian lebih 150 juta dolar hasil jualan narkotik setiap tahun.
Penyelidik di InSight Crime, Victoria Dittmar, yang telah lama menyelidik pergerakan bahan kimia precursors ke Meksiko, menjelaskan bahawa golongan “broker” seperti Zhang memainkan peranan penting menghubungkan pengeluar bahan kimia dengan kartel.
Beliau turut menyifatkan kehadiran Zhang yang meluas di Amerika Syarikat sebagai sesuatu yang jarang berlaku, memandangkan sukar mencari individu yang mampu menghubungkan tiga rantau sekali gus.
Penangkapan dan pelarian dramatik
Zhang dilaporkan ditangkap di Meksiko pada 31 Oktober 2024, sebelum seorang hakim membuat keputusan kontroversial menempatkannya di bawah tahanan rumah.
Namun, Zhang dilaporkan berjaya melarikan diri menerusi lubang di dinding sebelum menggunakan jet peribadi ke Cuba dan kemudian ke Rusia.
Pihak berkuasa sempadan Rusia dilaporkan mengesan dokumen palsu yang digunakannya, menyebabkan beliau dihantar semula ke Cuba sebelum diserahkan kembali ke Meksiko dan seterusnya diekstradisi ke Amerika Syarikat.
Penangkapan itu mendapat liputan meluas di serata dunia, termasuk dalam kalangan alumni Peking University yang dilaporkan terkejut dengan kisah tersebut.
Ahli kartel di Culiacan turut mengakui ketiadaan Zhang memberi kesan besar kepada operasi mereka.
Luis mendakwa menjadi sangat sukar untuk mendapatkan precursors, manakala Enrique menyifatkan situasi berubah drastik kerana kartel terpaksa membina semula rangkaian dari awal selepas kehilangan individu yang mempunyai hubungan penting di China.
Respons kedutaan China
Kementerian Kehakiman Amerika Syarikat menerbitkan kenyataan media pada 2025 yang merinci dakwaan terhadap Zhang, termasuk dakwaan beliau merekrut individu untuk membuka akaun bank atas nama lebih 100 syarikat kulit bagi memudahkan proses pengubahan wang haram.
Laporan Kementerian Luar Negeri Amerika Syarikat 2025 turut menyebut industri kimia China sebagai sangat besar dengan lebih 160,000 syarikat, dan meskipun terdapat langkah kawalan, tahap pengawasan dinilai masih tidak mencukupi.
Menjawab pertanyaan BBC, Kedutaan China di Washington menegaskan negara itu antara yang paling tegas dalam usaha membanteras narkotik di dunia.
Kedutaan turut menekankan bahawa semua bahan berkaitan fentanyl telah dijadualkan di bawah kawalan ketat kerajaan sejak 2019, dan bahan tersebut tidak dilarang sepenuhnya kerana sebahagiannya mempunyai kegunaan sah dalam pelbagai industri.
Pihak kedutaan turut menyatakan kerjasama membanteras narkotik antara China dan Amerika Syarikat kekal meluas, mendalam, dan amat produktif.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.