
DAP menjangkakan parti itu akan terus menjadi sasaran pihak lawan yang bakal memainkan naratif berunsur perkauman sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bermula 18 Julai ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelbagai naratif negatif terhadap DAP akan terus dimainkan bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap parti itu.
Menurutnya, strategi tersebut dilihat sebagai modal paling berkesan oleh pihak lawan untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kali ini.
“Apa lagi modal pihak lawan yang paling berkesan selain menyalahkan DAP dengan mengatakan apa sahaja isu yang berlaku di Negeri Sembilan, semuanya salah DAP. Sebenarnya kempen seumpama itu dah mula pun dan kita dah dengar kerana kita pun ada pengintip-pengintip untuk melihat apa yang mereka buat. Jangkaan bahawa naratif yang akan dipermainkan semua salah DAP,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang di sini pada Isnin.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, Perikatan Nasional (PN), terutamanya Pas, dilihat sudah mula memainkan naratif tersebut bagi memastikan DAP dan PH kalah dalam pilihan raya.
Strategi proksi disorot Anthony Loke
Sebagai contoh, kata Anthony, Annuar Musa menulis di Facebooknya bahawa jika seseorang tidak boleh menang, mereka masih boleh membuat musuh mereka kalah.
“Ini strategi mereka. Mereka tak boleh menang pun, tapi nak mengalahkan PH, mereka menggunakan proksi. Ini pendekatan jelas yang digunakan dalam PRN Johor. Itu sebabnya banyak kerusi mereka tak letak calon dan mengarahkan penyokong mereka mengundi calon BN,” katanya.
Beliau ketika berucap turut mendakwa DAP tidak pernah memainkan apa-apa sentimen perkauman sepanjang perjuangan mereka, malah telah membuktikan mampu mengurus tadbir kerajaan Negeri Sembilan dengan baik bersama PH sejak tahun 2018.
Justeru, beliau berharap rakyat di negeri ini tidak terpengaruh dengan naratif kempen sebegitu.
Loke desak Pas dan BN berterus terang
Dalam pada itu, Anthony menggesa Pas dan Barisan Nasional (BN) berterus terang kepada rakyat Negeri Sembilan tentang hubungan kerjasama mereka bagi menghadapi PRN di negeri itu.
“Mana-mana pihak nak bekerjasama itu adalah hak parti masing-masing, tetapi kena berterus terang kepada rakyat. Saya nak tanya pendirian parti-parti komponen BN, terutamanya MCA dan MIC, berhubung perkara ini. Jangan sorok-sorok, berikan satu gambaran yang jelas kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pas mengakui sedang mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, dilaporkan berkata perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan yang positif.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.