
Amaran pemimpin PAS, Sanusi Md Nor, supaya Umno tidak mempergunakan parti itu mencerminkan dilema lebih besar yang dihadapi Umno dalam menentukan hala tuju kerjasama politiknya. Demikian kata seorang penganalisis.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kenyataan Sanusi menunjukkan sebarang kerjasama antara Umno dan PAS perlu berasaskan rundingan yang jelas serta kedudukan yang diterima oleh kedua-dua pihak.
Pada masa sama, katanya, pendekatan Umno yang berbeza mengikut negeri menunjukkan parti itu masih belum mempunyai formula kerjasama yang seragam, sama ada dengan PAS atau Pakatan Harapan (PH).
Umno Pahang dan Perak tiada desakan putus hubungan
Mazlan berkata, hubungan BN-PH masih berjalan di peringkat persekutuan serta di negeri seperti Pahang dan Perak. Namun, kedua-dua gabungan itu mengambil pendekatan yang berbeza dalam beberapa pilihan raya negeri lain.
“Kita tak dengar desakan daripada Umno Pahang supaya memutuskan hubungan dengan PH. Perak pun sama.
“Menteri Besar Pahang dan Perak nampak positif dengan kerjasama itu. Di dua negeri yang diterajui Umno ini, kita tidak nampak krisis yang besar,” katanya kepada FMT.
Pahang ketika ini ditadbir menerusi kerjasama BN-PH. Umno negeri itu turut menilai beberapa kemungkinan jajaran politik, termasuk bersama PH, Perikatan Nasional (PN) atau bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang.
Menurut Mazlan, keadaan itu menunjukkan hala tuju kerjasama Umno tidak boleh dilihat melalui satu negeri sahaja kerana pertimbangan politiknya berbeza mengikut keadaan setempat.
Hubungan dengan PAS, katanya, masih memerlukan banyak perkara diperincikan sebelum satu bentuk kerjasama yang lebih menyeluruh dapat diwujudkan.
Sanusi mahu rundingan kerusi peringkat nasional
Sanusi sebelum ini turut mencadangkan supaya rundingan kerusi antara PAS dan Umno dibuat di seluruh negara, bukannya secara berasingan mengikut negeri. Menurutnya, langkah itu memudahkan pelarasan kawasan yang mahu ditandingi kedua-dua parti.
Amaran terbaharu Sanusi timbul ketika parti-parti politik membincangkan kemungkinan kerjasama menjelang pilihan raya negeri Melaka.
Beliau mengingatkan Umno supaya tidak mempergunakan PAS untuk kepentingan parti itu. Beliau juga berkata, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan PAS perlu berunding secara ikhlas tanpa agenda tersembunyi.
Kerjasama UMNO-PAS perlu dikekalkan
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata UMNO dan PAS perlu mengelakkan perbalahan serta mengetepikan perbezaan bagi memastikan kekuatan kerjasama kedua-dua parti terus dipertahankan.
Beliau berkata, perpecahan hanya akan menyebabkan kekuatan politik mereka semakin lemah, sekali gus mengingatkan pimpinan kedua-dua parti supaya mengambil iktibar daripada peringatan al-Quran mengenai bahaya perselisihan.
“Dua saja, berbalah atau kalah, jadi nak yang mana?” katanya ketika berucap sebelum mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Rais Yasin, ke Pusat Penamaan Calon DUN Sungai Udang hari ini.
Idris berkata, kerjasama UMNO dan PAS penting bagi memastikan kekuatan politik Melayu Islam terus menjadi tonggak dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
“Sebab itu kita nak supaya hari ini kita bekerjasama untuk memastikan dalam perjuangan kita ini ialah perjuangan bagi memastikan kuasa orang-orang Melayu Islam ini menjadi dominan dan menjadi tonggak kepada kekuatan kita,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuhkan kerjasama itu tidak seharusnya terhenti setakat pilihan raya negeri Melaka, sebaliknya menjadi sebahagian daripada hala tuju lebih besar menuju Putrajaya.
“Kita lihat penolakan gelombang Pakatan Harapan di Sabah, di Johor kita tarik sedikit ikatan di Negeri Sembilan, kemudian pula di Melaka.
“Seterusnya insya-Allah, ini adalah ‘roadmap’ kita ke Putrajaya nanti,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.