
Aminuddin Harun mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, semalam yang cuba mengaitkan kemelut adat dan institusi istana Negeri Sembilan dengan kerajaan terdahulu.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut meminta supaya Ismail menjelaskan dakwaan terbabit kerana rakyat berhak tahu kesalahan yang dimaksudkan.
Tegasnya, apabila kerajaan terdahulu dituduh menjadi punca kemelut berkenaan, rakyat berhak mengetahui dengan tepat apakah kesalahan yang dimaksudkan.
“Apakah tindakan yang dikatakan gagal saya lakukan? Apakah peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang dikatakan telah dilanggar dan bilakah pelanggaran itu dikatakan berlaku?
“Jangan sekadar menggunakan istilah ‘kerajaan terdahulu’ sebagai jawapan umum. Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya. Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya.
“Dalam perkara sebesar ini, rakyat berhak diberikan fakta yang jelas dan boleh diperiksa,” katanya, membalas kenyataan Ismail semalam.
Ismail sebut masalah warisan kerajaan lama
Dalam kenyataannya semalam, Ismail menegaskan kemelut ketika ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, sebaliknya masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
Ismail dilaporkan berkata, kegagalan Menteri Besar terdahulu melaksanakan tanggungjawab seperti diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, termasuk keengganan menyempurnakan proses yang sepatutnya, menyebabkan isu berkenaan berlarutan dan menjadi semakin parah.
Tambahnya, kerajaan negeri hari ini yang memegang mandat majoriti lebih dua pertiga memikul amanah besar untuk memulihkan kestabilan pentadbiran, mempertahankan keluhuran Undang-Undang Tubuh serta memelihara kemuliaan Institusi Adat dan Raja.
Aminuddin sedia dipersoal
Mengulas lanjut, Aminuddin, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk dipersoalkan. Sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, katanya, setiap tindakan dan keputusan boleh dinilai berdasarkan rekod, dokumen serta kronologi yang ada.
“Saya bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat semasa menjadi Menteri Besar. Jika ada keputusan saya yang mahu dipersoalkan, kemukakan dokumen, tarikh dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Saya akan menjawab berdasarkan rekod,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.