
Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz tidak akan mempertahankan kerusi DUN Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini. Sebaliknya, beliau akan menumpukan perhatian kepada pertandingan di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Parti Muda mengumumkan Rashifa Aljuneid sebagai calon menggantikan Amira di DUN Puteri Wangsa.
“Keputusan ini dibuat bagi memperkukuhkan perjuangan rakyat di peringkat nasional dan memastikan suara generasi muda, pekerja serta rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup terus dibawa ke Parlimen,” kata Amira dalam kenyataannya.
Puteri Wangsa, DUN bersejarah bagi Muda
DUN Puteri Wangsa mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah Muda kerana kerusi itu merupakan kemenangan pilihan raya pertama parti tersebut pada 2022. Amira sendiri memenangi kerusi itu dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru pada PRN Johor 2022.
Rashifa bukan wajah baharu di Puteri Wangsa
Muda menegaskan bahawa Rashifa bukanlah orang baharu bagi penduduk Puteri Wangsa. Selaku ketua pegawai Pejabat Presiden Muda dan anggota utama Pusat Khidmat Puteri Wangsa, beliau telah memainkan peranan penting di sebalik pelbagai program, inisiatif dan gerak kerja yang dilaksanakan di DUN tersebut selama ini.
“Banyak usaha yang telah memberi manfaat kepada rakyat Puteri Wangsa tidak akan dapat dilaksanakan tanpa komitmen, penyelarasan dan kerja keras Rashifa bersama pasukan pusat khidmat,” kata Amira.
Beliau menambah, pencalonan Rashifa merupakan kesinambungan kepada kerja yang telah dibina sejak beberapa tahun lalu, bagi memastikan suara rakyat Puteri Wangsa terus diangkat dan diperjuangkan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.