
Anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak, Nooryana Najwa percaya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengeluarkan titah addendum berkaitan tahanan rumah bapanya selepas mendapat nasihat undang-undang daripada Peguam Negara.
Beliau berkata addendum itu ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, sambil menegaskan bahawa sekiranya tindakan tersebut bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan, nasihat berbeza pasti akan diberikan.
Dalam hantaran di media sosial, Nooryana berkata kes berkenaan membuktikan bahawa apabila tiada pihak mengambil tanggungjawab, pelbagai komplikasi akan timbul sehingga mencetuskan tekanan emosi dan kekecewaan.
Menurutnya, permohonan semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan dan pelaksanaan titah addendum bukanlah pilihan utama Najib.
Katanya, Najib pada awalnya berusaha menyelesaikan perkara itu secara tertutup melalui pendekatan diplomatik tanpa perhatian umum, memandangkan sensitiviti isu tersebut.
Namun, selepas tiga bulan berusaha mendapatkan maklumat serta mengutus surat kepada pelbagai kementerian dan agensi termasuk Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Perdana Menteri, beliau gagal memperoleh maklum balas.
Beliau berkata ketiadaan jawapan itu seolah-olah mencerminkan usaha menyembunyikan kebenaran.
Nooryana menambah, sekiranya pihak berkuasa menyatakan lebih awal bahawa addendum itu diterima tetapi tidak boleh dikuatkuasakan, masa dan kos Najib dapat dijimatkan.
Beliau menegaskan bahawa membawa isu addendum ke mahkamah merupakan jalan terakhir.
Menurutnya, Najib kekal berpegang kepada prinsip dan bertekad membersihkan namanya daripada sebarang salah laku yang didakwa bermotifkan politik.