
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah memulakan siasatan terhadap seorang bekas menteri berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa susulan penemuan petunjuk baharu, hampir sedekad selepas kejadian didakwa berlaku.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan siasatan tersebut dan berkata beberapa individu berkepentingan akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Namun, identiti bekas menteri terbabit tidak didedahkan.
Sumber SPRM berkata, siasatan tertumpu kepada kelulusan projek di sebuah wilayah persekutuan yang melibatkan nilai jutaan ringgit.
Menurut sumber itu, siasatan turut merangkumi pembinaan papan iklan serta pemindahan sebidang tanah milik kerajaan kepada sebuah pemaju hartanah terkemuka.
SPRM masih meneliti hubungan antara bekas menteri berkenaan dengan syarikat-syarikat terlibat dan sedang mendapatkan dokumen berkaitan, kata sumber itu.
Berita Harian melaporkan, bekas menteri berkenaan pernah menganggotai Kabinet sebelum pandemik Covid-19 dan pernah berdepan pertuduhan mahkamah bagi beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.