
Suasana Konvensyen Pakatan Harapan (PH) bertukar gamat apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mencadangkan PH bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, keputusan bertanding 36 kerusi itu selari dengan pengumuman BN Johor yang mahu bergerak solo bertanding di 56 kerusi DUN pada PRN kali ini.
“Kalau Johor nak lawan 56 DUN, Negeri Sembilan pun kita lawan 36 DUN. Kalau Johor bubar esok, Negeri Sembilan pun boleh bubar esok,” katanya dengan penuh semangat.
Ucapan itu serta-merta disambut sorakan dan laungan semangat daripada perwakilan yang memenuhi dewan konvensyen.
Spekulasi pembubaran DUN Johor semakin hangat
Terdahulu, spekulasi berkaitan kemungkinan pembubaran DUN Johor terus hangat diperkatakan, susulan dakwaan bahawa sidang khas DUN akan diadakan pada 24 Jun ini.
Pada Sabtu, BN Johor mengumumkan akan bertanding semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang. Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi Umno dan BN negeri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.