
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kembali mencuri perhatian ramai selepas berkongsi nukilan menyentuh hati di akaun Facebook peribadinya malam tadi.
Dalam perkongsian itu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan mengakui bahawa dirinya masih memiliki kekurangan seperti manusia biasa, namun hal itu mendorongnya untuk terus bermuhasabah diri dalam usaha memperbaiki kelemahan tersebut.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menegaskan tekadnya untuk tidak mengalah, sebaliknya terus menggalas amanah memimpin pentadbiran negara demi memastikan masa depan tanah air sentiasa terbela.
“Saya sedar tiada manusia yang sempurna, dan masih ada kekurangan yang sentiasa saya muhasabah. Namun amanah ini tetap saya galas dengan seluruh jiwa raga. Kerana setiap langkah yang diambil adalah demi memastikan masa depan bangsa dan tanah air sentiasa terbela,” kata Anwar yang juga Presiden PKR itu.
Video detik istimewa bersama rakyat
Dalam hantaran yang sama, Anwar turut memuat naik rakaman video yang memaparkan beberapa detik istimewa yang diluangkan beliau bersama rakyat sepanjang menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.
Rakyat panjatkan doa dan kata semangat
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna Facebook memberikan kata-kata semangat agar beliau terus melangkah ke hadapan. Ramai juga yang memanjatkan doa agar segala urusan Anwar, terutamanya dalam mentadbir negara menghadapi krisis global, dipermudahkan Allah SWT.
“Perlu terus berjalan melangkah ke hadapan! Usah peduli musuh di belakang mahupun di hadapan. Terus menjadi berani, berdepan dengan risiko yang tinggi,” tulis seorang pengguna.
Seorang pengguna lain turut berkongsi pandangannya, “Sesiapa sahaja yang bakal menggantikan PMX selepas ini, akan menjadi sangat tertekan. Sebab nak lawan PMX punya gerak kerja yang tiada henti dan paling penting, jangan ambil gaji.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.