
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan beliau tidak akan sesekali melupakan Permatang Pauh, kawasan yang dianggapnya sebagai titik awal perjuangan politik sebelum beliau meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen Tambun.
Menurut beliau, meskipun kini mewakili kawasan Parlimen Tambun, Permatang Pauh tetap mempunyai nilai sentimental yang tersendiri kerana di situlah bermulanya perjalanan politik beliau.
“Saya jadi Perdana Menteri ini betullah saya wakil rakyat Tambun. Tapi yang mula ini mana? Permatang Pauh… tak akan saya nak lupa. Ini kampung halaman kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Skim Usahawan Bangkit (SUB) Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman Penanti, Kubang Semang, Sabtu lalu.
Dari Permatang Pauh ke Tambun
Anwar turut mengimbas kembali bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, sebelum bertanding pula di Port Dickson, Negeri Sembilan, dan kemudiannya di Tambun bagi memperkukuhkan perjuangan politiknya.
“Mengenangkan Permatang Pauh adalah tempat saya, saya minta kepada penganjur supaya buat Program SUB di sini.
“Tak apalah kamu buat di Bukit Gantang, buat di Trong, tapi kena turun ke Permatang Pauh kerana ini tempat aku, kampung halaman aku. Dan inilah buktinya, hari ini SUB diadakan di Parlimen Permatang Pauh,” ujarnya.
Bantuan modal usahawan lebih penting
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan terus memperluas pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, termasuk menerusi program bantuan tunai, pembiayaan, serta sokongan kepada golongan usahawan kecil.
Tambah beliau, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional antara usaha kerajaan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Namun begitu, kata Anwar, bantuan berbentuk modal dan peluang menjana pendapatan juga sama penting supaya rakyat mampu berdikari dan tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.
“Kadang-kadang yang lebih penting ialah bagi dia modal, bagi dia berniaga, jalan hidup sendiri supaya tidak bergantung lagi.
“Itu saya ingatkan, tujuan kita untuk usahawan kecil-kecilan. Sebab itu saya memberi sokongan rancangan usahawan ini supaya dia boleh bangkit, sama ada dia jatuh, bangkit semula ataupun daripada tidak ada upaya, bangkit.
“Ini peranan kita sebenarnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tumpuan kerajaan perlu diberikan kepada usaha membantu rakyat di peringkat akar umbi, dan bukan sekadar terperangkap dalam persengketaan politik semata-mata.
“Kalau tidak, saya tengok politik ini, ini yang maki sana, bergaduh sana, kerja tak buat pun. Program tak ada.
“Jadi sebab itu, mudah-mudahan di Permatang Pauh, kita jayakan kerana orang nak hidup,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.