
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Negeri Sembilan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, sekiranya penubuhan kerajaan Negeri Sembilan tiada kaitan dengan semangat kerajaan peringkat Persekutuan, kerajaan negeri wajar mempertimbangkan supaya tidak menyalurkan sebarang peruntukan kepada ADUN pembangkang.
“Salurkan terus kepada rakyat sebagaimana amalan (kerajaan) Madani di Pusat. Ok ke begitu?
“Penyokong-penyokong PH tentu akan beri sokongan padu terhadap cadangan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Latar belakang isu pemulangan peruntukan
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 17 ADUN PH dan dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan Negeri Sembilan terdahulu dikehendaki memulangkan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September. Ini susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.
Menteri Besar, Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada Rabu, selepas isu peruntukan berkenaan dibangkitkan dalam sidang khas DUN sebelum ini.
Ismail turut memaklumkan, jumlah yang perlu dipulangkan berbeza mengikut baki peruntukan setiap kawasan. Ada ADUN yang mungkin perlu memulangkan keseluruhan jumlah, dan ada pula yang kurang.
Hanya seorang pulangkan penuh peruntukan
Rentetan itu, hanya bekas Menteri Besar, Aminuddin Harun dilapor telah memulangkan keseluruhan peruntukan yang diterima.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.