
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pernah cuba menyelamatkan Umno daripada terus lemah dan berpecah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun jasa itu akhirnya dibalas dengan pengkhianatan. Itu dakwaan wakil Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, Muhammad Huraimi Mohamad Husri, ketika berucap dalam sesi perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Menurut Huraimi, Anwar sepatutnya dikenang sebagai sahabat yang menghulurkan bantuan kepada Umno pada waktu parti itu berada dalam keadaan sukar berikutan keputusan buruk PRU15.
“Dialah yang mahu menyelamatkan Umno daripada terus mati pada PRU yang lepas. Tetapi apa jasanya dibalas? Adakah beliau dihargai?
“Adakah beliau dikenang sebagai seorang sahabat? Tidak. Beliau dikhianati,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Umno Zahid Hamidi turut menyentuh perkara sama, dengan mendakwa terdapat usaha membatalkan pendaftaran Umno sejurus pembentukan kerajaan perpaduan. Namun katanya, ‘ada seseorang yang selamatkan Umno’ apabila permintaan itu tidak dilayan.
Anwar sendiri sebelum ini pernah mendakwa beliau antara pemimpin Pakatan Harapan yang membantah cadangan yang didakwa dirancang oleh Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin untuk mengharamkan Umno selepas PRU14.
Politik jangan dijual beli atas kepentingan
Huraimi turut mengingatkan bahawa politik yang berasaskan perebutan kuasa boleh menyebabkan mereka yang pernah dianggap sahabat bertukar menjadi lawan yang menikam dari belakang.
Beliau menegaskan, perjuangan politik tidak wajar digadai hanya kerana hubungan peribadi atau kepentingan sesaat.
“Penjajahan bukan lagi dengan senapang, tetapi dengan kuasa, pengkhianatan dan kepentingan politik.
“Kita jangan bina politik atas dasar siapa yang paling lama berkawan dengan kita, tetapi atas dasar siapa yang paling setia kepada rakyat dan perjuangan,” katanya.
Kritikan terhadap naratif Melayu terancam
Sementara itu, wakil Pemuda PKR Melaka, Muhammad Hakim Mohd Hafizudin pula menyuarakan kritikan terhadap Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh yang dikatakan kerap membangkitkan naratif Melayu terancam dalam pelbagai isu.
Hakim turut membalas mereka yang melabelnya sebagai liberal semata-mata kerana pendiriannya dalam PKR.
“Kamu tuduh kami liberal. Habis pakai songkok ini, liberal lagi. Saya tetap Melayu, Islam. Saya boleh baca al-Quran dan hadis,” katanya tegas.
Seruan perbaiki kelemahan dalaman parti
Dalam pada itu, Hakim turut mengingatkan barisan kepimpinan PKR supaya tidak hanya sibuk mengkritik pihak luar, sebaliknya perlu lebih berani menangani serta membaiki kelemahan dalaman parti. Ini penting bagi memastikan perjuangan reformasi yang dibawa PKR terus mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.