
Ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas daripada jangkaan pada suku kedua 2026 (2Q26), dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat 6.0%. Pencapaian ini didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan serta eksport yang kukuh, walaupun negara masih berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
Prestasi tersebut turut mengatasi anggaran awal sebanyak 5.8%, dan lebih tinggi berbanding pertumbuhan 5.4% yang dicatatkan pada suku pertama 2026. Berdasarkan pelarasan bermusim, ekonomi negara berkembang 2.5% pada 2Q26 berbanding suku sebelumnya.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia kekal berada pada asas yang kukuh. Kekuatan dalam segmen eksport utama, katanya, dijangka terus menyokong pertumbuhan eksport meskipun ketidaktentuan luaran semakin meningkat.
Sehubungan itu, BNM mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam lingkungan 4% hingga 5% bagi keseluruhan 2026. Inflasi utama pula dijangka kekal sederhana, iaitu dalam julat 1.5% hingga 2.5%.
Penggunaan dan pelaburan jadi pemacu utama
Dari sudut permintaan, penggunaan swasta yang menjadi enjin utama ekonomi meningkat 4.8% pada 2Q26, manakala pelaburan swasta pula berkembang 4.3%.
Penggunaan awam meningkat lebih tinggi, iaitu 7.6% tahun ke tahun, sementara pelaburan awam berkembang 6.3%. Eksport bersih pula melonjak sehingga 169% apabila pertumbuhan penghantaran keluar negara mengatasi pertumbuhan import.
Pembuatan dan perkhidmatan tunjang pertumbuhan sektor
Dari segi sektor pula, aktiviti pembuatan mencatat pertumbuhan paling pantas iaitu 7.3% pada 2Q26, disokong terutamanya oleh permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E).
Sektor perkhidmatan turut berkembang kukuh sebanyak 5.9%, dipacu prestasi baik dalam perdagangan borong dan runcit.
Sementara itu, sektor perlombongan kembali mencatat pertumbuhan sebanyak 9.2% selepas menguncup pada suku pertama tadi, ekoran peningkatan pengeluaran gas asli yang berjaya mengimbangi penurunan pengeluaran minyak mentah.
Pertumbuhan sektor pembinaan bagaimanapun sederhana kepada 6.5%, manakala sektor pertanian menguncup 3.7% susulan penurunan hasil minyak sawit berbanding prestasi kukuh yang dicatatkan pada 2025.
Tumpuan kini beralih ke separuh kedua 2026
Prestasi suku kedua ini menunjukkan daya tahan ekonomi domestik ketika Malaysia berdepan persekitaran luaran yang lebih mencabar, termasuk turun naik harga tenaga dan ketegangan geopolitik.
Sebelum pengumuman rasmi KDNK 2Q26, satu tinjauan Reuters terhadap 21 ahli ekonomi sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 5.8%, dengan eksport dan permintaan domestik yang berdaya tahan disebut sebagai antara pemacu utama.
Dengan pertumbuhan 6.0% pada separuh pertama tahun ini, tumpuan pasaran kini beralih kepada keupayaan ekonomi Malaysia untuk mengekalkan momentum pada separuh kedua 2026, bagi mencapai sasaran pertumbuhan tahunan BNM antara 4% hingga 5%.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.