
Barisan Nasional (BN) Pahang berpendirian untuk terus mengekalkan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Perkara ini disampaikan Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail yang turut menjawat jawatan Menteri Besar Pahang.
Beliau berkata, pihaknya akan terus komited menjalankan tugas bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri itu terjamin.
“Kita akan bincang… saya harap kita (kerajaan perpaduan) akan dapat kekal sehingga PRU16,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara 2026 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Pada PRU15 lalu, BN dan Perikatan Nasional masing-masing memperoleh 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH pula meraih lapan kerusi. Secara keseluruhannya, terdapat 42 kerusi di DUN Pahang.
BN Pahang terbuka kerjasama hadapi PRU16
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menegaskan BN Pahang terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU16 kelak.
RM118,000 disalur bantu pelajar sambung pengajian
Mengenai majlis berkenaan, beliau berkata pihaknya turut menyalurkan peruntukan berjumlah RM118,000 kepada 118 pelajar institusi pengajian tinggi. Bantuan itu bagi membantu persiapan mereka melanjutkan pengajian ke Mesir dan New Zealand pada bulan ini.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyalurkan sebanyak USD1,000 menerusi Yayasan Pahang kepada pelajar yang bakal meneruskan pengajian di Jordan dan Maghribi.
Wan Rosdy menambah, Inisiatif Makmur Pahang itu tidak akan terhenti setakat ini sahaja, sebaliknya akan terus diperluas dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Kita juga melihat kepada sukatan pelajaran dan kursus yang ditawarkan. Antara perkara yang diambil kira ialah kursus yang mempunyai elemen Islamik serta bidang pengajian yang bersesuaian,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.