
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) akan dimansuhkan sepenuhnya, susulan rasa tidak puas hati sebahagian mahasiswa walaupun beberapa pindaan sudah dibuat sebelum ini.
Beliau berkata, golongan mahasiswa sejak sekian lama merasakan mereka wajar diberi kebebasan lebih luas. Menurutnya, kerajaan sudah pun melonggarkan sekatan itu menerusi pelbagai pindaan, namun masih ada suara tidak berpuas hati yang disuarakan melalui memo.
“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus bebas, kita sudah bebaskan dengan pindaan Auku, masih ada yang tidak puas hati, mereka mengemukakan memo. Maka, hari ini saya nak umumkan kita akan mansuhkan Auku,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.
Anwar turut memegang jawatan presiden PKR.
Sejarah pindaan Auku sejak 1971
Auku sebenarnya bukan akta baharu. Ia sudah melalui tujuh kali pindaan sejak mula diperkenalkan pada 1971, dengan setiap pindaan cuba menyesuaikan akta itu mengikut tuntutan semasa.
Antara yang paling ketara ialah pindaan 2012, yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti anjuran parti politik selagi ia dijalankan di luar kawasan kampus. Sebelum itu, penglibatan pelajar dalam politik luar kampus adalah amat terhad.
Pindaan paling baharu pula berlaku pada 2024, membabitkan Seksyen 16B akta tersebut. Menerusi pindaan ini, kuasa mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar universiti awam tidak lagi terletak di tangan naib canselor semata-mata, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.
Selain itu, Seksyen 15A turut dipinda bagi membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar serta badan-badan pelajar lain mengumpul dana dan menerima sumbangan, asalkan mematuhi peraturan dan undang-undang bertulis yang ditetapkan.
Tuntutan mahasiswa yang berterusan
Sebelum pengumuman ini dibuat, Kementerian Pendidikan Tinggi pernah menegaskan tiada rancangan memansuhkan Auku secara keseluruhan. Pendirian itu rupanya tidak dapat memuaskan hati sebahagian besar mahasiswa.
Ekoran itu, seramai 40 pelajar yang mewakili lebih 30 kumpulan mahasiswa turun berarak ke Parlimen pada 9 Februari lalu. Mereka menuntut supaya Auku dimansuhkan sepenuhnya, bukan sekadar dipinda.
Tidak berhenti di situ, pada April lalu kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka Sekretariat Mansuh Auku turut melancarkan kempen berskala nasional. Kempen itu bertujuan mendesak kerajaan supaya benar-benar memansuhkan akta kontroversi tersebut, bukan sekadar meminda mana-mana bahagiannya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.