
Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin melancarkan parti baharu, Parti Wawasan Negara (Wawasan), pada Konvensyen Reset yang diadakan di Tanah Merah, Kelantan.
Pelancaran ini berlangsung kira-kira empat bulan selepas beliau dipecat daripada Bersatu, susulan krisis kepimpinan dengan Presiden parti itu, Muhyiddin Yassin. Hamzah sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden Bersatu.
Nama parti diberi Hadi, konvensyen dihadiri 20,000 peserta
Hamzah mendedahkan bahawa nama parti baharu itu diberikan oleh Presiden PAS, Hadi Awang, yang turut hadir merasmikan konvensyen berkenaan.
“Parti yang saya nak maklumkan ini, nama ini diberikan oleh ‘ayahanda’ iaitu ‘ayah cik’ kita,” katanya, merujuk kepada Hadi Awang.
Penganjur mengumumkan seramai 20,000 peserta hadir pada konvensyen tersebut. Turut menyertai majlis itu ialah Pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang dikaitkan dengan Hamzah turut kelihatan hadir, termasuk Ronald Kiandee dari Beluran dan Mas Ermieyati Samsudin dari Masjid.
Wawasan isytihar mahu bersama Perikatan Nasional
Hamzah mengumumkan bahawa pihaknya berhasrat untuk bergabung dengan Perikatan Nasional dalam perjuangan politik ke hadapan.
“Saya akan bersama-sama dengan PN,” katanya dengan tegas.
Beliau turut memaklumkan bahawa Parti Wawasan Negara akan mengadakan mesyuarat agung tahunan yang pertama pada minggu depan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.