
BERSATU menafikan empat bahagian parti itu iaitu Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong dibubarkan susulan peletakan jawatan beberapa Ahli Jawatankuasanya.
Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Mohamed Azmin Ali, berkata empat bahagian itu masih wujud mengikut Perlembagaan BERSATU.
Beliau berkata, perlembagaan BERSATU tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli parti termasuk ketua bahagian untuk membubarkan bahagian.
“Dakwaan ini adalah tidak berasas dan tidak berperlembagaan serta bercanggah dengan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan BERSATU,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan beberapa Bahagian BERSATU terbubar serta-merta termasuk di Larut dan Lembah Pantai susulan penyingkiran beberapa pemimpin kanan parti itu.
Tindakan itu didakwa dibuat disebabkan rasa hilang percaya pemimpin bahagian terhadap kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Azmin berkata, dakwaan pembubaran itu adalah tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej serta menggugat kestabilan parti.
Beliau menambah, mesyuarat MPT pada Sabtu lalu telah memberi mandat kepada Badan Pimpinan Negeri untuk memantau setiap Bahagian.
Langkah drastik akan dikenal pasti untuk memulihkan Bahagian yang bermasalah sebagai usaha berterusan memperkukuhkan parti di semua peringkat.
Azmin yakin BERSATU kini semakin matang dan akan melangkah ke hadapan dengan keyakinan baru untuk membawa agenda rakyat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.