
Kembalinya semula bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bersama pasukannya dilihat mampu mengukuhkan semula parti tersebut. Malah, ia turut boleh mencerahkan peluang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk meneruskan pentadbiran bagi penggal kedua.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Misrinah Misban berkata, berdasarkan pengalaman Azmin dalam menguruskan parti sebelum ini, termasuk ketika Anwar berada dalam penjara, beliau mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, terutamanya selepas Rafizi Ramli keluar daripada PKR.
“Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan prestasi Azmin dalam menguruskan parti sebelum ini lebih baik berbanding Rafizi. Kembalinya Azmin mampu mengukuhkan PKR dan meningkatkan peluang Anwar untuk menyambung tugas sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.
“Tetapi selain Anwar, pimpinan atasan serta ahli-ahli PKR juga perlu terlebih dahulu memaafkan Azmin dan pasukannya serta menerima mereka kembali. Ini kerana Azmin adalah antara kekuatan utama PKR dan PH dalam usaha mempertahankan kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar mohon maaf, ajak bekas pemimpin kembali
Sebelum ini, Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka turut memohon maaf, selain merayu kepada bekas pemimpin dan aktivis parti supaya kembali ke landasan perjuangan PKR.
Ketua Penerangan Wanita PKR, Ginie Lim turut memuat naik gambar bersama bekas pemimpin PKR, Tian Chua dan Xavier Jayakumar, sempena kongres tersebut.
Sementara itu, media sebelum ini turut melaporkan bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman dijangka menyertai semula PKR, susulan gesaan Anwar kepada para veteran parti supaya kembali ke pangkuan PKR.
Kamarudin, yang turut merupakan bekas Timbalan Menteri Luar, dilaporkan berminat untuk menyertai Cabang PKR Cheras. PKR Wilayah Persekutuan pula dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima kemasukan beliau.
PKR dan Azmin saling memerlukan
Mengulas lanjut, Misrinah berkata keputusan Azmin meninggalkan Bersatu di saat parti itu sedang lemah adalah pilihan yang perlu dipertimbangkan dengan masak-masak oleh beliau sendiri.
“Walaupun begitu, bak sirih pulang ke gagang, bagai belut pulang ke lumpur, Azmin amatlah didambakan oleh Anwar.
“PKR dan Azmin memerlukan antara satu sama lain bagai aur dengan tebing di dalam landskap politik tanah air hari ini,” jelasnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.