
Pemimpin BERSATU hari ini mendakwa PAS, yang memimpin Perikatan Nasional, telah mendahului Pendaftar Pertubuhan berhubung dakwaan BERSATU hilang kuorum untuk mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingginya.
Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sehingga hari ini ROS sendiri tidak pernah membuat sebarang kenyataan mempertikaikan keabsahan BERSATU, apatah lagi mengumumkan parti itu sudah terbubar.
“Inilah masalah sikap gila kuasa PAS sehingga kerja ROS pun mereka hendak buat. Apa kaitan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN untuk PRN Negeri Sembilan dengan dakwaan mesyuarat MPT tidak cukup kuorum?
“Di mana pula peruntukan dalam Perlembagaan BERSATU mengatakan BERSATU hilang keabsahan dan terbubar semata-mata apabila ada dakwaan kononnya kuorum MPT BERSATU tidak cukup?” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas laporan media yang memetik pemimpin PAS, termasuk Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hasan, yang memaklumkan PN memutuskan tidak lagi menjemput BERSATU menghadiri mesyuarat gabungan itu. Ini berikutan dakwaan parti itu hanya mempunyai 23 anggota MPT, tidak mencapai kuorum 25 orang seperti ditetapkan dalam perlembagaannya.
Takiyuddin dilaporkan berkata, perkara itu dibangkitkan selepas empat Ahli Parlimen BERSATU membuat aduan kepada ROS pada 13 Julai lalu, berhubung dakwaan parti itu sudah hilang kuorum untuk mengadakan mesyuarat MPT.
Tun Faisal: Salah tafsir fasal perlembagaan
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata perkara mengenai kuorum sebenarnya sudah diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan BERSATU. Fasal 13.12, katanya, menyatakan kuorum mesyuarat MPT ialah separuh daripada jumlah ahli MPT.
“Perlembagaan tidak pernah menyebut jumlah itu hendaklah berdasarkan bilangan asal Ahli MPT selepas pemilihan parti, seperti cuba ditafsirkan oleh PAS. Peruntukan yang digunakan hanyalah frasa jumlah ahli MPT.
“Justeru, jika jumlah ahli MPT yang sedang memegang jawatan ialah 20 orang, maka kuorum yang diperlukan ialah 10 orang. Ini akibat bila tidak faham perbezaan antara perkataan keanggotaan dengan jumlah ahli,” katanya.
Marzuki: PN patut rujuk ROS, bukan BERSATU
Sementara itu, bekas setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, berkata Setiausaha Agung PN tidak mempunyai kuasa untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada BERSATU berhubung aduan Ahli Parlimen BERSATU kepada ROS mengenai isu kuorum mesyuarat MPT itu.
Menurutnya, Setiausaha Agung PN sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada ROS, bukan daripada BERSATU. Ini kerana hanya agensi berkenaan yang mempunyai kuasa menentukan sama ada sesebuah pertubuhan itu sah di sisi undang-undang.
“BERSATU sehingga kini tidak menerima apa-apa notis daripada ROS berhubung isu cukup kuorum MPT BERSATU.
“Justeru, pada masa mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan pada 16 Julai 2026 sehingga kini, BERSATU adalah sebuah pertubuhan sah dan anggota PN yang sah. Hal ini juga diakui Pengerusi PN menerusi kenyataannya kepada media pada 9 Ogos 2026,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.