
Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM459.84 bilion bagi Belanjawan 2027, meningkat kira-kira RM40 bilion berbanding RM419.2 bilion yang diperuntuk tahun ini.
Daripada jumlah itu, RM376.8 bilion atau kira-kira 82% disediakan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM83 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Peruntukan mengurus dilaporkan meningkat 3.8% berbanding RM338.2 bilion pada 2026. Peruntukan pembangunan pula naik sedikit daripada RM81 bilion tahun ini.
Menurut Laporan Tinjauan Fiskal 2027 Kementerian Kewangan, perbelanjaan mengurus akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan awam utama dan bantuan bersasar kepada rakyat, termasuk bantuan sosial serta subsidi.
Sebanyak 82.8% daripada keseluruhan perbelanjaan akan dibiayai melalui hasil cukai dan bukan cukai. Baki 17.2% ditampung menerusi pinjaman serta penggunaan aset kerajaan.
Hasil kerajaan persekutuan dijangka meningkat 4.7% kepada RM380.8 bilion pada 2027, berdasarkan unjuran ekonomi yang kekal berdaya tahan walaupun pertumbuhannya dijangka lebih sederhana.
Sektor sosial terima peruntukan mengurus terbesar
Menurut laporan Perbendaharaan itu, sektor sosial menerima peruntukan mengurus terbesar sebanyak RM161.6 bilion. Ia diikuti sektor ekonomi (RM59.4 bilion), keselamatan (RM46 bilion) dan pentadbiran am (RM23.4 bilion).
“Perbelanjaan akan terus tertumpu kepada projek dan program yang mengutamakan rakyat, dengan 30.2% daripada jumlah peruntukan disalurkan kepada kementerian pendidikan, kesihatan dan pertahanan,” menurut laporan itu.
Sementara itu, peruntukan subsidi dan bantuan sosial berkurangan 2.3% kepada RM72.7 bilion. Ini susulan pelaksanaan subsidi bersasar serta penambahbaikan pengurusan subsidi yang dijangka meningkatkan kecekapan perbelanjaan.
Bayaran gaji dan elaun penjawat awam kekal sebagai komponen terbesar perbelanjaan mengurus, iaitu RM91.56 bilion atau 24.3%. Subsidi dan bantuan sosial menyusul dengan RM59.53 bilion atau 15.8%.
Peningkatan perbelanjaan gaji itu didorong kenaikan gaji tahunan penjawat awam serta peruntukan tambahan bagi menambah tenaga kerja dalam sektor kesihatan dan pendidikan.
Perbelanjaan persaraan pula dijangka meningkat 4.24% kepada RM44.6 bilion. Ini berikutan pertambahan jumlah pesara dan penerima pencen yang meningkatkan tanggungan kerajaan.
1,500 program dan projek baharu dirancang
Kementerian Kewangan memaklumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM83 bilion merangkumi 1,500 program dan projek baharu. Sektor ekonomi menerima bahagian terbesar, iaitu 45.4%.
Sektor sosial pula menerima 33.7% daripada peruntukan berkenaan, diikuti sektor keselamatan sebanyak 14.7%.
“Sebanyak RM37.7 bilion diperuntukkan kepada sektor ekonomi bagi meningkatkan daya saing negara melalui pembangunan infrastruktur strategik dan usaha menggalakkan pelaburan.
“Subsektor pengangkutan, alam sekitar serta perdagangan dan industri menerima peruntukan terbesar, mencerminkan tumpuan berterusan kerajaan untuk meningkatkan jaringan perhubungan, menyokong pembangunan mampan dan memperkukuh persekitaran pelaburan,” menurut laporan itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.