
Kerajaan bercadang mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan, menurut Belanjawan Persekutuan 2027.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18%. Bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 pula, kadarnya dikurangkan kepada 24%.
Sementara itu, kadar cukai bagi yang berpendapatan tinggi, iaitu melebihi RM1 juta, diselaraskan kepada 30%.
Anwar mengumumkan cadangan itu ketika membentangkan Belanjawan Persekutuan 2027 di Dewan Rakyat, petang tadi.
“Kerajaan mendengar keresahan golongan pertengahan yang cekal bersabar meskipun turut terhimpit beban sara hidup,” katanya.
“Kenaikan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai individu bakal memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira 5 juta pembayar cukai.”
Had pelepasan cukai dinaikkan
Anwar turut mengumumkan had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000. Had itu tidak disemak sejak 2010.
Pelepasan cukai diperluas
Di samping itu, kerajaan bercadang memperluaskan pelepasan cukai individu. Pelepasan bagi rawatan perubatan diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin.
Pelepasan bagi penjagaan ibu bapa dan datuk nenek pula diperluas meliputi semua perbelanjaan penjagaan, dan tidak lagi terhad kepada kesihatan.
Pelepasan bagi yuran pengajian dan kemahiran juga diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.
Bagi gaya hidup, pelepasan diperluas merangkumi langganan kecerdasan buatan serta kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar. Pelepasan bagi peralatan sukan bakal meliputi pembelian kasut sukan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.