
Kerajaan negeri boleh membuat keputusan berkenaan belanjawan tanpa perlu adanya ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco), kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim.
Menurutnya, jabatan-jabatan kerajaan boleh menyediakan belanjawan untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bajet boleh dibawa terus ke DUN
“Kebiasaannya, bajet itu kita bawa kepada exco untuk kelulusan, tapi bukan semestinya,” katanya, menurut Sinar Harian.
“Tapi boleh juga, dalam keadaan biasa, bajet yang disediakan oleh jabatan-jabatan ini akan kita bawa terus kepada DUN.”
Ismail turut memaklumkan bahawa semua portfolio exco buat masa ini dijaga oleh ketua jabatan berkaitan.
“Ketua-ketua jabatan berkaitan yang memainkan peranan memastikan portfolio exco ini berjalan seperti biasa,” katanya.
Sidang DUN ditangguh ke November
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan sidang DUN yang dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober ditangguhkan ke November. Pembentangan belanjawan pula dijangka pada 27 November.
Katanya, kerajaan negeri juga akan memanggil semua 25 Adun kerajaan bagi sesi konsultasi belanjawan pada bulan ini.
Negeri Sembilan tiada exco sejak 20 Sept
Negeri Sembilan tidak mempunyai barisan exco sejak 20 Sept lalu, selepas kesemua 10 anggotanya dilucutkan jawatan kerana melanggar sumpah jawatan.
Pemecatan itu dibuat susulan kenyataan mereka lima hari sebelumnya yang menyokong satu pengisytiharan untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.
Pada 3 Okt lalu, Ketua DAP Negeri Sembilan, J Arul Kumar, berkata ketiadaan barisan exco boleh menyebabkan belanjawan 2027 negeri itu tergendala.
Arul, yang juga Adun Nilai, berkata kebimbangan utama ialah bagaimana proses belanjawan akan diteruskan apabila tiba peringkat penting yang memerlukan kelulusan exco.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.