
Bersatu Pahang mengecam kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, yang melabel parti itu sebagai bacul.
Ketua Penerangan Bersatu Pahang, Zakaria Abdul Hamid, menegaskan pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan memperlekehkan hak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN.
Keberanian bukan sekadar bercakap
Menurut Zakaria, keberanian bukan sekadar petah bercakap di hadapan mikrofon. Sebaliknya, ia perlu disertai kesediaan untuk duduk semeja, berdepan dengan persoalan dan mempertahankan keputusan berdasarkan perlembagaan serta prinsip yang dipersetujui bersama.
“Disebabkan takut menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Takiyuddin mengambil pendekatan menagih simpati dengan melabel pihak lain sebagai bacul.
“Bersatu bukan tetamu dalam PN, sebaliknya merupakan parti komponen yang mempunyai hak, suara dan kedudukan yang mesti dihormati,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Gesa hentikan amalan “telunjuk lurus, kelingking berkait”
Zakaria berkata, sekiranya PN mahu terus menjadi wadah perjuangan bersama, amalan “telunjuk lurus, kelingking berkait” perlu dihentikan. Menurutnya, amalan itu memperlihatkan percanggahan antara seruan perpaduan dengan tindakan mengenepikan rakan sendiri.
“Kami tidak gentar mempertahankan hak Bersatu. Jika ada sebarang persoalan mengenai perlembagaan, tadbir urus atau keputusan bersama, jawablah secara terbuka dan berani, bukannya dengan retorik atau serangan murahan,” ujarnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.