
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, menegaskan Bersatu perlu keluar daripada Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu sekiranya benar-benar mahu “melawan” PAS, mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang menyatakan partinya bersedia berdepan habis-habisan dengan PAS.
“Mahu lawan PAS itu pelik. Kalau betul dia nak lawan, dia tidak boleh duduk dalam PN. Bersatu kena keluar la,” kata Amar, yang juga menjawat jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Pengkalan Chepa, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, hari ini.
Kenyataan Amar itu menyusul pengumuman Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi, di mana beliau menyatakan Bersatu akan terus kekal dalam PN dan bertanding di bawah logo gabungan itu pada PRN Johor dan Negeri Sembilan yang akan datang.
Logo PN bukan hak presiden parti semata-mata
Amar turut mengkritik kenyataan Muhyiddin berhubung penggunaan logo PN dalam pilihan raya negeri itu sebagai terburu-buru dan tidak mengambil kira prosedur yang ditetapkan.
Menurutnya, kuasa atau watikah berkaitan penggunaan logo PN dalam mana-mana pilihan raya perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, bukan oleh presiden parti komponen.
“Nak guna logo PN, saya rasa ada kesilapan dari segi kenyataan. Dia ingat boleh guna dengan mudah, sebaliknya ada peraturannya. Kuasa atau watikah perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti,” katanya.
Amar: Kenyataan Muhyiddin bersifat ‘lorat’
Amar menegaskan perkara berkaitan penggunaan logo PN sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat PN, dan tidak wajar diumumkan secara terbuka sebelum sebarang keputusan dicapai bersama.
“Sebab itu saya merasakan kenyataan Muhyiddin ‘lorat’ kerana ia bersifat teknikal dan perlu dibincang,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa isu-isu seperti ini perlu diperhalusi dalam PN sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada awam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.