
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan berlangsung pada akhir Oktober hingga November tahun ini, berdasarkan perkembangan politik semasa dan desas-desus yang beredar.
Beliau berkata, sebelum PRU16, beberapa pilihan raya negeri (PRN) dijangka berlangsung terlebih dahulu, bermula dengan PRN Johor dan Negeri Sembilan, diikuti kemungkinan PRN Melaka.
“Berkemungkinan selepas PRN Melaka, Parlimen akan dibubarkan kerana banyak tanda-tanda dan desas-desus mengatakan PRU tahun ini, cuma masih berteka-teki dari segi bulan atau tarikh,” katanya.
PRU16 dijangka hujung tahun, bukan Julai
Mohd Amar mengulas bahawa walaupun ada pihak menganggarkan pilihan raya umum itu mungkin berlaku pada Julai, selepas Perdana Menteri pulang dari lawatan luar negara, pandangan yang lebih kuat menunjukkan ia akan berlangsung pada penghujung Oktober hingga November.
“Macam mana pun, tahun ini akan berlaku PRU. Justeru kita perlu tingkatkan komitmen dan iltizam, selain memperkemas kedudukan parti di semua peringkat bagi berdepan kemungkinan PRU,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud.
Jangan pandang remeh parti baharu, pengundi muda sukar dijangka
Mohd Amar, yang juga menjawat jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, turut mengingatkan jentera parti supaya tidak membuat persiapan pada saat-saat akhir.
Beliau menekankan bahawa corak pemikiran pengundi muda adalah berbeza dan sukar untuk dijangka, justeru pendekatan kempen perlu disesuaikan dengan realiti semasa.
“Saya juga mengingatkan jentera parti supaya tidak memandang rendah dengan kewujudan parti baharu kerana pendekatan yang mereka gunakan dapat menarik perhatian pengundi muda,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.