
Bersatu Melaka menyatakan kesediaan mengadakan perbincangan dengan pihak yang mempunyai titik persamaan, khususnya Pakatan Harapan, bagi meneroka suatu bentuk persefahaman menjelang PRN Melaka akan datang.
Perkembangan ini berlatarkan cakap-cakap mengenai penjajaran semula politik antara PAS dan sekutunya dalam Perikatan Nasional dengan Barisan Nasional baru-baru ini.
Gandingan tersebut dilihat telah menumpulkan saingan PH dan turut mematahkan Bersatu pada PRN Johor serta Negeri Sembilan sebelum ini.
“Pengalaman dan keputusan pilihan raya di Negeri Sembilan dan Johor sudah tentu menjadi antara faktor yang perlu dinilai dengan serius oleh kepimpinan negeri dan pusat.
“Demi kelangsungan serta masa depan parti, semua senario politik perlu dikaji secara rasional dan terbuka,” kata Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim kepada FMT.
Menurutnya, Bersatu Melaka tidak menolak kemungkinan perbincangan atau kerjasama politik sekiranya ia memberikan manfaat strategik kepada parti, di samping menawarkan pilihan yang lebih baik kepada rakyat.
Atas sebab itulah, katanya, Bersatu Melaka sedia meneroka suatu bentuk persefahaman politik yang boleh memberikan ruang pilihan yang lebih luas kepada rakyat Melaka.
“Sebarang perbincangan tersebut, sekiranya berlaku, hendaklah dilihat sebagai sebahagian daripada proses politik yang matang dan pragmatik,” katanya.
Namun begitu, beliau menegaskan sebarang bentuk kerjasama mestilah tidak melibatkan pihak yang mengkhianati kepercayaan dan semangat kerjasama yang pernah dibina dalam PN.
“Pada akhirnya, sebarang rundingan, persefahaman atau kerjasama politik yang melibatkan Bersatu adalah tertakluk kepada kebijaksanaan dan keputusan presiden serta kepimpinan pusat parti,” katanya.
Bersatu sudah gerakkan jentera lebih awal
Hishamuddin turut menjelaskan, Bersatu telah melalui pelbagai episod politik dan kini berdepan landskap politik yang semakin dinamik.
“Bersatu Melaka memilih untuk membuka ruang perbincangan dan tidak menutup pintu kepada mana-mana pihak, termasuk PH, selagi mana ia membawa kepada suatu formula yang memberi manfaat kepada rakyat dan Melaka,” katanya.
Menurut laporan, penggal semasa DUN Melaka akan berakhir pada 30 Disember, kecuali dibubarkan lebih awal. Pilihan raya pula mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.
Hishamuddin turut memberitahu FMT bahawa Bersatu sebenarnya telah pun menggerakkan jentera lebih awal bagi persiapan menghadapi PRN Melaka ini.
Sementara itu, semua Bersatu bahagian diminta menyediakan laporan lengkap mengenai kekuatan jentera, kedudukan politik setempat, potensi calon, serta cadangan kerusi untuk dinilai oleh kepimpinan parti.
Isu lambang parti masih belum muktamad
Ditanya sama ada Bersatu akan menggunakan lambang sendiri sebagaimana yang berlaku di Negeri Sembilan, Hishamuddin menegaskan Bersatu Melaka bersedia menghadapi PRN dalam apa jua bentuk keputusan yang ditetapkan oleh parti kelak.
Pada PRN lalu, Bersatu berjaya memenangi dua daripada 28 kerusi DUN ketika bertanding menggunakan lambang PN, iaitu di Bemban dan Sungai Udang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.