
Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah, menyelar pihak yang mengkritik keputusan parti itu untuk memeterai kerjasama dan menyokong kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Rafiq berkata keputusan tersebut dibuat melalui Biro Politik Bersatu, dan Adun perlu memainkan peranan sebagai ahli parti dengan akur pada hala tuju yang ditentukan pucuk pimpinan.
“Keputusan parti bukan peribadi”
“Seperti mana dalam Perlembagaan parti, tidak kira seseorang itu wakil rakyat, Adun atau Ahli Parlimen, dia tertakluk kepada keputusan dan arahan parti.
“Kalau tak setuju boleh keluar, keputusan parti bukan peribadi,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Adun Kuang itu turut berkata kerjasama berkenaan bukan perkara baharu. Malah, Barisan Nasional (BN) juga bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Terma kerjasama sedang dimuktamadkan
Menteri Besar, Amirudin Shari, minggu lalu mendedahkan Adun Bersatu akan memeterai kerjasama dengan kerajaan negeri sebelum Belanjawan Selangor dibentangkan. Terma-termanya kini sedang dimuktamadkan.
Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan antara PH dan BN, rakan penting dalam kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor, semakin memuncak.
Perkara itu dikritik oleh Adun Permatang daripada Bersatu, Nurul Syazwani Noh, yang berkata Adun parti itu tidak dimaklumkan mengenai perjanjian tersebut.
Nurul, yang dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan Bersatu, berkata beliau tiada masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri jika langkah itu memberi manfaat kepada rakyat. Namun, katanya, peranan pembangkang dalam menyediakan semak dan imbang mesti diteruskan.
Adun Bersatu kekal sebagai pembangkang
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Bersatu Selangor, Noorazley Yahya, berkata Adun Bersatu akan terus berfungsi sebagai pembangkang yang melaksanakan fungsi semak dan imbang, meskipun pakatan itu dimeterai.
Beliau mengesahkan perkara itu tidak dibincangkan dengan 11 Adun parti. Namun, katanya, Biro Politik Bersatu telah memberi mandat kepada pengerusi negeri, Azmin Ali, untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan Selangor.
Noorazley, yang juga Adun Bukit Melawati, berkata pakatan itu tidak bersifat politik kerana ia hanya menyokong Amirudin dan kerajaan negeri.
“Kita bukan masuk PH. Sokongan itu pun sudah lama digerakkan sebelum kedua-duanya membuka pintu untuk berbincang dengan matlamat antaranya memastikan kebajikan rakyat terpelihara,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.