
Laporan terbaharu Wall Street Journal yang memetik data firma analisis kewangan Altrata mendedahkan kekayaan bilionair dunia melonjak 10.3 peratus kepada AS$13.4 trilion pada 2024, paras tertinggi pernah direkodkan.
Laporan itu mengaitkan peningkatan luar biasa ini dengan prestasi kukuh pasaran saham global serta ledakan sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang mengubah pengagihan kekayaan dunia secara pantas tetapi tidak seimbang.
Jumlah bilionair kini mencapai 3,508 orang. Amerika Syarikat terus mendominasi dengan 1,135 bilionair yang menguasai kekayaan berjumlah AS$5.7 trilion, iaitu 43 peratus daripada keseluruhan kekayaan bilionair dunia.
China berada di tempat kedua dengan 321 bilionair dan kekayaan sekitar AS$1.3 trilion, manakala Eropah buat pertama kali sejak pengumpulan data melepasi angka 1,000 bilionair.
Laporan itu turut menyatakan bahawa ledakan AI dan teknologi telah melonjakkan kekayaan jutawan teknologi Amerika seperti Elon Musk, Mark Zuckerberg dan Jeff Bezos, seiring kenaikan saham syarikat teknologi.
Antara 2015 hingga 2025, sektor teknologi mencatat pertumbuhan kekayaan tertinggi pada kadar 198 peratus, diikuti hotel dan hiburan (146 peratus), penjagaan kesihatan (75 peratus) dan kewangan (74 peratus). Sektor hartanah paling perlahan dengan hanya 37 peratus, menunjukkan peralihan kekayaan ke arah ekonomi digital.
Di Eropah, tokoh seperti Ketua Pegawai Eksekutif LVMH Bernard Arnault (AS$236.4 bilion) dan pemilik rangkaian pasar raya Lidl, Dieter Schwarz (sekitar AS$45.9 bilion) membantu mengangkat benua itu melebihi 1,000 bilionair.
Sebaliknya, Asia menunjukkan sedikit penurunan. Walaupun usahawan seperti pengasas Nongfu Spring Zhong Shanshan (AS$79.9 bilion) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tencent Pony Ma (AS$71.5 bilion) masih tersenarai, beberapa jutawan dari tanah besar China dan Hong Kong telah tercicir.
Altrata turut melaporkan ambang minimum untuk memasuki senarai bilionair kini meningkat kepada AS$4.2 bilion, manakala kadar keluar daripada senarai pada 2024 hanya 3.4 peratus, yang terendah sejak 2022.
Penganalisis ekonomi memberi amaran bahawa angka ini menunjukkan jurang kekayaan global semakin melebar dan kekayaan semakin tertumpu kepada kelompok kecil yang menguasai teknologi dan modal, sementara ekonomi sedang pesat membangun berhadapan pertumbuhan perlahan serta agihan pendapatan yang tidak sekata.
Amerika Utara kekal sebagai pusat kekayaan dunia diikuti Eropah, sementara Asia semakin ketinggalan dalam peralihan ekonomi yang didorong AI.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.