
Manchester City meraikan perlawanan ke-1,000 Pep Guardiola sebagai pengurus dengan kemenangan 3-0 ke atas Liverpool, merapatkan jurang kepada empat mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal.
Erling Haaland bangkit selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti awal dengan menanduk masuk gol ke-99 beliau dalam saingan EPL. Gol kedua datang selepas rembatan Nico Gonzalez terkena pemain lawan, manakala Jeremy Doku menambah jaringan menakjubkan untuk mengesahkan kemenangan bergaya City.
Kekalahan ini menambah buruk prestasi Liverpool, yang kini tewas lima daripada enam aksi liga terakhir dan jatuh ke tangga kelapan, lapan mata di belakang pendahulu.
Rentetan kemenangan 10 perlawanan Arsenal terhenti selepas seri 2-2 menentang Sunderland kelmarin. City mengambil peluang itu sepenuhnya dan menunjukkan mereka masih pencabar utama dalam perebutan kejuaraan musim ini.
“Terima kasih kepada pemain dan kakitangan atas hadiah luar biasa ini,” kata Guardiola, yang meraikan perlawanan ke-1,000 dengan penuh bergaya. “Saya beritahu pemain, ‘jangan lakukannya kerana Arsenal gagal menang semalam. Lakukan kerana kami percaya kepada diri sendiri’. Kami menentang juara England. Tunjukkan kami mampu berdiri sebaris dengan mereka musim ini dan hari ini saya rasa kami sudah buktikan.”

Walaupun beberapa keputusan pengadil tidak memihak kepada pasukan kendalian Arne Slot, perlawanan tersebut mencerminkan betapa jauh prestasi Liverpool merosot sejak kemenangan 2-0 mereka ke atas City di Etihad pada Februari lalu.
The Reds sebelum ini menunjukkan tanda kebangkitan selepas kemenangan ke atas Aston Villa dan Real Madrid dalam tempoh lapan hari, namun mereka gagal menandingi permainan kemas dan bertenaga City. City kini merekodkan 11 kemenangan daripada 14 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
“Kami perlu memperbaiki banyak perkara, itu jelas,” ujar Slot. “Fokus utama kami sekarang adalah meraih keputusan positif. Perkara terakhir yang patut difikirkan ketika ini adalah perebutan kejuaraan.”
Dalam aksi lain, Nottingham Forest menamatkan kemarau kemenangan dengan menewaskan Leeds United 3-1, menandakan kemenangan pertama Sean Dyche sebagai pengurus kelab itu dalam kancah Liga Perdana Inggeris.
Kemenangan ini merupakan kemenangan liga pertama Forest sejak menewaskan Brentford pada minggu pembuka tirai musim pada Ogos lalu. Sebelum kedatangan Dyche, Forest pernah dibimbing Nuno Espirito Santo dan kemudian Ange Postecoglou, kedua-duanya dipecat sebelum Dyche mengambil alih.