
Manchester City didapati bersalah bagi hampir kesemua tuduhan berhubung pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana.
Hukuman terhadap kelab itu masih belum diputuskan, dengan semua kemungkinan hukuman kekal dipertimbangkan. City sendiri dijangka akan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Menurut sumber yang mengetahui perkembangan kes ini, City didapati bersalah bagi 114 daripada 115 tuduhan yang dikenakan terhadap mereka. Sumber itu enggan dikenal pasti kerana tidak dibenarkan berbuat demikian secara terbuka. Kelab ini mula-mula didakwa pada Februari 2023, susulan siasatan yang mengambil masa empat tahun.
Jurucakap City memberitahu The Athletic, “Proses Liga Perdana masih berterusan, dengan elemen penting yang masih perlu diselesaikan, dan tertakluk kepada kerahsiaan yang ketat. Oleh itu, pendirian Manchester City FC kekal konsisten dengan kenyataan kelab pada Februari 2023.”
“Kelab telah dengan telus menghormati proses sewajarnya selama lapan tahun berdasarkan andaian lembaga dan eksekutif Liga Perdana akan bertindak sebagai badan pengawal selia yang bebas, saksama dan adil, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” tambah kenyataan itu.
Sebelum ini pada Februari 2023, City turut menyatakan mereka “terkejut” dengan tuduhan tersebut dan “mengalu-alukan semakan perkara ini oleh sebuah suruhanjaya bebas, bagi menilai secara saksama bukti kukuh yang menyokong pendirian mereka”.
Bagaimana kes ini bermula
City didakwa susulan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran yang berlaku antara 2009 hingga 2018. Kes itu kemudiannya dirujuk kepada sebuah suruhanjaya bebas untuk membuat keputusan terhadap tuduhan berkenaan.
Siasatan ini bermula selepas akhbar Jerman, Der Spiegel, menerbitkan dokumen kewangan City yang bocor pada November 2018.
City dituduh oleh Liga Perdana kerana gagal memberikan maklumat kewangan yang tepat, termasuk butiran pembayaran kepada pemain dan jurulatih. Kelab itu turut dituduh melanggar peraturan Financial Fair Play UEFA serta peraturan keuntungan dan kemampanan Liga Perdana sendiri. Namun, kelab itu sentiasa menafikan semua dakwaan berkenaan.
Di bawah pemilikan Sheikh Mansour, yang menerusi Abu Dhabi United Group mengambil alih kelab itu pada 2008, City telah memenangi lapan gelaran Liga Perdana, empat Piala FA, tujuh Piala Liga serta satu Liga Juara-Juara. Enam daripada kejayaan itu diraih selepas tuduhan berkenaan dikenakan terhadap mereka.
Pada Februari 2020, badan pentadbir bola sepak Eropah, UEFA, mengenakan larangan dua tahun terhadap City daripada bertanding dalam kejohanan mereka, disertai denda 30 juta euro, susulan kebocoran dokumen Der Spiegel itu. Namun, hukuman itu dibatalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan lima bulan kemudian.
Mahkamah itu membatalkan larangan dua tahun tersebut kerana dakwaan pelanggaran FFP sama ada tidak dapat dibuktikan atau sudah tamat tempoh untuk dikenakan tindakan di bawah peraturan UEFA.
Bagaimanapun, City tetap didapati bersalah kerana tidak bekerjasama dengan UEFA dengan gagal menyerahkan bukti yang mencukupi. Mahkamah itu menggambarkan pelanggaran tersebut sebagai serius dan wajar dikecam, sekali gus mengakibatkan denda £8.8 juta.
Liga Perdana berdepan tekanan soal tempoh siasatan
Liga Perdana dan ketua pegawai eksekutifnya, Richard Masters, berulang kali ditanya mengenai kes City sejak tuduhan dikenakan lebih tiga tahun lalu.
Bulan lalu, Masters mengakui proses ini “mengambil masa lebih lama daripada dijangka”, tetapi menegaskan “satu-satunya cara” adalah dengan “membiarkan proses itu mengikut lunasnya”.
Pada Januari 2024, Masters mengesahkan kepada satu sesi perbicaraan jawatankuasa terpilih parlimen United Kingdom bahawa tarikh perbicaraan City telah ditetapkan, namun enggan mendedahkannya.
Pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak, pula pernah menyatakan pada Jun 2024 bahawa Liga Perdana wajar mengambil “pendekatan lebih seimbang” terhadap peraturan kewangannya.
“Saya rasa Liga Perdana sampai ke tahap ini kerana menjadi liga paling kompetitif. Jadi, saya harap ada sedikit lagi kewajaran dalam pengawalseliaan,” kata Al Mubarak ketika itu.
Sepanjang tempoh dakwaan pelanggaran berkenaan, City sebenarnya memenangi Liga Perdana sebanyak tiga kali, Piala FA dua kali, Piala Liga empat kali serta Community Shield.
Pertukaran jurulatih dan permulaan musim baharu
Musim lalu, City meraih double piala domestik pada musim terakhir Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih, namun gagal mengatasi Arsenal dalam perlumbaan Liga Perdana.
Kelab itu turut pernah bersengketa dengan Liga Perdana berhubung peraturan transaksi pihak berkaitan selama beberapa tahun, sebelum akhirnya mencapai persefahaman dengan liga itu pada September 2025.
Pada November 2024, Guardiola menandatangani lanjutan kontrak sehingga Jun 2027, dan menyatakan beliau akan kekal di kelab itu walaupun terpaksa terjun kelas akibat sebarang hukuman yang dikenakan. Namun, Guardiola kemudiannya mengumumkan pada Mei akan meninggalkan City selepas 10 tahun menerajui kelab itu, dan digantikan oleh Enzo Maresca.
Di bawah Maresca, City memulakan musim 2026-27 dengan lima kemenangan daripada lima perlawanan, dan kini mendahului carta liga. Kelab itu turut membelanjakan £450 juta sepanjang tingkap pemindahan musim panas, termasuk membawa masuk pemain tengah Enzo Fernandez dari Chelsea dengan yuran £125 juta, menyamai rekod British.
Apakah hukuman yang bakal diterima City
Hukuman berpotensi digariskan dalam peraturan W.51 buku panduan Liga Perdana, dengan pelbagai pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh panel sekiranya City didapati melanggar peraturan.
Hukuman itu boleh terdiri daripada teguran dan denda, sehinggalah potongan mata, malah pembuangan daripada Liga Perdana.
Sebarang potongan mata boleh dikenakan sebaik keputusan dibuat atau secara retrospektif, yang turut membuka kemungkinan City dilucutkan gelaran juara mereka.
“Saya jangka jika ada potongan mata, ia akan dikenakan bermula selepas keputusan dibuat,” kata James Hill, pengarah undang-undang yang mengkhusus dalam hal regulatori sukan di Onside Law, kepada The Athletic pada 2023.
“Secara umumnya, panel tidak suka menentukan gelaran juara menerusi proses mahkamah. Cara itu tidak memberikan hukuman yang benar-benar berkesan kepada kelab,” tambahnya.
Menurut peraturan W.51.7, panel turut boleh memilih untuk menggabungkan mana-mana hukuman yang digariskan dalam buku panduan, atau mengenakan hukuman lain yang mereka anggap sesuai.
Namun begitu, sebarang hukuman perlu berkadar dengan pelanggaran yang dilakukan, jika tidak ia berisiko dibatalkan melalui rayuan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.