
Kutipan dana bagi membantu Najib Razak melunaskan denda RM50 juta, syarat untuk beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, kini mencecah RM9.25 juta.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu direkodkan setakat jam 10 pagi hari ini. Namun begitu, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Setakat jam 10 tadi sebanyak RM9.25 juta telah dikutip dan ini masih belum mencukupi untuk mencapai angka RM50 juta.
“Usaha-usaha sedang dilakukan untuk menambah kutipan dana itu dan berharap rakan-rakan akan dapat membantu dalam waktu terdekat untuk mencapai jumlah yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.
“Jumlah berkenaan harus diselesaikan sebelum penahanan di rumah itu dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Peguam: Najib tak mampu bayar sendiri
Pada 25 September lalu, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak mampu menyediakan sendiri jumlah berkenaan susulan pembekuan beberapa akaun bank miliknya.
Muhammad Shafee turut menjelaskan, Najib tidak pernah meminta sumbangan orang awam bagi membayar denda tersebut. Sebaliknya, kutipan itu dimulakan oleh pihak lain.
Selain itu, pada 20 September, firma Shafee turut memaklumkan Najib sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan bagi memenuhi syarat pembayaran itu. Ini memandangkan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanahnya masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan.
Tabung Solidariti kutip RM1 juta dalam sehari
Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO sebelum ini berjaya mengumpul RM1 juta dalam tempoh kira-kira sehari sahaja. Tabung itu merekodkan RM165,645 pada sejam pertama, dan meningkat kepada RM634,562.02 dalam tempoh tiga jam.
Pada 18 September, UMNO mengumumkan pelancaran tabung berkenaan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta. Sumbangan dibuka kepada kepimpinan, ahli, penyokong parti serta mana-mana pihak yang berminat secara sukarela.
Perkara ini susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.