
Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi meminta Menteri Besar, Ismail Lasim menghadap Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut pentadbiran Negeri Sembilan.
Beliau turut meminta Ismail menghadap Tunku Besar Tampin, Shahbandar dan hierarki adat lain bagi menyelesaikan kemelut itu, dengan mengambil kira Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), adat serta peraturan yang sedia ada.
“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan disantuni dan apa yang sedang berlaku dan telah berlaku, kita cari jalan penyelesaian baik di peringkat negeri.
“Tentunya kita tidak mahu keadaan semakin keruh dan rakyat dimangsakan dengan situasi ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Timbalan perdana menteri itu berkata, keutamaan ketika ini ialah memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara, dan pentadbiran negeri dapat berjalan lancar selepas pemecatan 10 exco baru-baru ini.
Zahid akan temui 25 Adun malam ini
Menurut Zahid, beliau akan menemui 25 Adun BN dan Perikatan Nasional di ibu pejabat Umno malam ini bagi membincangkan pilihan terbaik untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
“Keseluruhan 25 Adun yang ada, yang telah membentuk lebih tiga perempat kerajaan di Negeri Sembilan ini, dua pertiga daripada mandat yang telah diberikan ini mesti terus diberikan keutamaan dan penyelesaiannya akan datang daripada mereka.
“Saya mahu dengar apakah pilihan terbaik bagi kita menyelesaikan masalah sedang melanda Negeri Sembilan,” katanya, sambil menegaskan beliau tidak berniat campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri.
Sebaliknya, katanya, beliau hanya mahu menyelaras perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak.
Zahid turut menolak sebarang cadangan agar darurat diisytiharkan di Negeri Sembilan susulan kemelut berkenaan.
“Saya tidak fikir ia harus menuju ke arah itu sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan dan tak perlu pun perkara itu difikirkan. Tentu ada pilihan lebih baik selain mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Emergency Council di Negeri Sembilan.”
Zahid nafi 10 bekas exco dipanggil Bukit Aman
Sementara itu, Zahid menafikan dakwaan 10 bekas exco Negeri Sembilan telah dipanggil Bukit Aman. Sebaliknya, beliau memaklumkan mereka bersedia memberikan keterangan sekiranya diperlukan.
“Perkara itu tidak benar dan tidak ada keperluan untuk dipanggil. Tetapi, kalau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mahu mendapat keterangan, tentunya exco atau mantan exco tidak ada masalah memberi keterangan di Seremban atau mana-mana tempat di Negeri Sembilan.”
Mengenai PRN Melaka pula, Zahid berkata, BN akan berbincang dengan pihak berkaitan, termasuk keperluan PAS menggunakan logo BN susulan penggantungan PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
“Pada minggu ini, kita akan ada perbincangan dengan beberapa pihak, dengan parti gabungan mana, dengan parti mana kita akan bertanding.
“Kita menghormati keputusan yang akan dibuat oleh mereka. Logo dan lambang apa yang akan mereka gunakan, itu terserah kepada mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zahid turut berkata tabung membantu Najib Razak kini mencecah RM9.25 juta setakat jam 10 pagi tadi. Jumlah itu masih jauh daripada sasaran denda RM50 juta yang perlu dibayar bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.