
UMNO dan PAS wajar mengadakan rundingan strategik bagi mengelak pertembungan kerusi antara kedua-dua parti pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Noh Omar berkata, peluang memperoleh kemenangan akan menjadi lebih besar sekiranya formula kerjasama atau persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam dua pilihan raya sebelum ini turut berlaku kali ini.
“Harapan kita, kedua-duanya jangan bertembung. Perjuangan saya ialah UMNO dan PAS tidak bertembung antara satu sama lain.
“Jika ini boleh dilaksanakan, sudah pasti akan membawa semangat baharu,” katanya selepas merasmikan Program Kejohanan Arowana Emas Pertama Malaysia 2026 di pusat membeli-belah R&F, pada Sabtu.
BN belum mula runding, mahu kekal 21 kerusi
Sebelum ini, Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya belum memulakan sebarang rundingan dengan mana-mana parti, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan PN.
Namun, timbul jangkaan BN dan PN akan meneruskan kerjasama politik berikutan perkembangan positif kedua-dua gabungan itu semasa PRN Johor serta Negeri Sembilan sebelum ini.
Ab Rauf turut menjelaskan, BN mahu mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dimenangi sebelum ini. Ini, katanya, menjadi syarat utama yang perlu dipatuhi mana-mana pihak sekiranya mahu membentuk kerjasama pada PRN Melaka nanti.
Elak dedah rundingan lebih awal, kata Noh
Noh berpandangan, sebarang rundingan kerjasama antara UMNO dan PAS juga tidak wajar didedahkan lebih awal, bagi mengelak pihak lawan daripada mengatur strategi tersendiri.
“Bagi saya, lebih baik beritahu kemudian sebab kalau pihak lawan tahu lebih awal, mereka pasti menyusun strategi balas,” ujarnya.
Ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding pada PRU akan datang, Noh berkata perkara itu bukan keutamaannya ketika ini.
“Sebab itu hingga sekarang saya tak fikir pasal bertanding. Saya sekarang ini fikir macam mana nak bagi parti menang,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.